Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Thailand perketat langkah keselamatan jelang ketibaan kumpulan pertama pelancong asing

Thailand yang menyaksikan jumlah kes COVID-19 semakin berkurangan, akan menerima kumpulan pertama pelancong asing pada minggu depan, menandakan permulaan awal pembukaan secara beransur sektor pelancongannya.

Anggaran Waktu Membaca:
Thailand perketat langkah keselamatan jelang ketibaan kumpulan pertama pelancong asing

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 30 Sep 2020 08:42AM Dikemas Kini : 30 Sep 2020 08:54AM

BANGKOK: Thailand yang menyaksikan jumlah kes COVID-19 semakin berkurangan, akan menerima kumpulan pertama pelancong asing pada minggu depan, menandakan permulaan awal pembukaan secara beransur sektor pelancongannya, dengan langkah-langkah keselamatan yang ketat dikuatkuasakan bagi menyekat sebarang gelombang jangkitan.

Menteri Pelancongan dan Sukan Thailand Phiphat Ratchakitprakarn berkata kumpulan pertama 150 pelancong dari Guangzhou, China akan tiba di pulau peranginan Phuket dengan menaiki penerbangan khas pada 8 Okt.

Beliau berkata pada hari yang sama, satu lagi kumpulan tujuh ahli perniagaan dari China akan tiba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi.

Menurutnya, satu lagi kumpulan 126 pelancong dari Guangdong, China akan tiba di Bangkok pada 25 Okt, manakala 120 pelancong dari negara-negara Scandinavia akan tiba pada 1 November.

“Tiga hotel di Phuket, dan tiap satu di Chon Buri serta Buri Ram dipilih sebagai hotel kuarantin alternatif negara (ASQ) bagi pelancong asing yang memasuki Thailand,” katanya dalam sidang media pada Selasa (29 Sep).

Semua pelancong asing yang memasuki Thailand akan tinggal di ASQ selama 14 hari. Selain itu, mereka diperlukan memiliki insurans kesihatan dan menjalani ujian COVID-19 negatif 72 jam sebelum tiba di negara itu.

Sementara itu, Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha berkata Thailand sedang menghadkan jumlah pelancong yang memasuki negara itu dan beberapa langkah kawalan ketat dikenakan bagi mengawal sebarang penularan jangkitan.

“Keputusan perlu dibuat dengan hati-hati. Aplikasi pengesanan dan gelang tangan khas akan membantu kita untuk mengesan mereka,” katanya.

Sementara itu, jurucakap kerajaan Anucha Burapachaisri berkata kabinet pada Selasa meluluskan lanjutan keenam perisytiharan darurat sehingga hujung bulan Oktober, memandangkan situasi pandemik COVID-19 di peringkat global masih membimbangkan.

“Perintah darurat penting dalam mengawal pandemik, di samping membantu mengawal kesan COVID-19,” katanya.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan