Skip to main content

Iklan

Iklan

Thailand minta Sinovac sediakan lebih banyak data ujian klinikal

Thailand meminta lebih banyak hasil data ujian klinikal vaksin COVID-19 daripada syarikat farmaseutikal China, Sinovac Biotech Ltd, sebelum mendapatkan bekalan kumpulan pertama vaksin tersebut bulan depan.

Anggaran Waktu Membaca:
Thailand minta Sinovac sediakan lebih banyak data ujian klinikal

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 15 Jan 2021 07:43AM Dikemas Kini : 15 Jan 2021 07:51AM

BANGKOK: Thailand meminta lebih banyak hasil data ujian klinikal vaksin COVID-19 daripada syarikat farmaseutikal China, Sinovac Biotech Ltd, sebelum mendapatkan bekalan kumpulan pertama vaksin tersebut bulan depan.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA), Thaweesilp Wissanuyothin berkata pertimbangan utama negaranya terhadap vaksin COVID-19 adalah keselamatan dan keberkesanannya.

Buat masa ini, katanya, Pentadbiran Makanan daqn Perubatan (FDA) Thailand sudah menerima permohonan pendaftaran vaksin daripada AstraZeneca dan Sinovac.

“FDA Thailand sudah membuat permintaan kepada Sinovac untuk memberikan lebih banyak maklumat terperinci mengenai ujian klinikal,” katanya pada taklimat harian COVID-19 di pada Khamis (15 Jan).

Keberkesanan vaksin Sinovac mencetuskan kebimbangan berikutan data daripada hasil ujian di Brazil yang menunjukkan bahawa ia hanya 50.4 peratus berkesan untuk mencegah jangkitan simptomatik.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Jabatan Sains Perubatan Supakit Sirilak berkata Thailand berada di landasan tepat untuk menerima vaksin Sinovac dari China itu mulai bulan depan walaupun ujian klinikal menunjukkan tahap keberkesanan yang lebih rendah.

Thailand sudah memperolehi dua juta dos vaksin COVID-19 yang dibangunkan oleh Sinovac dengan penghantaran pertama sebanyak 200,000 dos dijangka diterima menjelang hujung bulan depan, 800,000 dos pada hujung bulan Mac serta sejuta dos lagi menjelang hujung April ini.

Di bawah Pelan Vaksinasi Kebangsaan, Thaweesilp berkata kumpulan pertama bekalan vaksin sebanyak 200,000 dos itu akan diberikan kepada kumpulan berisiko tinggi di kawasan penularan yang tinggi termasuk petugas perubatan, pesakit mengalami masalah kesihatan lain serta warga emas berusia 60 tahun ke atas.

Selain bekalan daripada Sinovac, Thailand turut menempah 61 juta dos vaksin daripada firma farmaseutikal Britain-Sweden, Oxford-AstraZeneca.

Syarikat biofarmaseutikal Thailand, Siam Bioscience, akan menghasilkan vaksin COVID-19 dengan menggunakan formula dan teknologi yang dibangunkan oleh AstraZeneca Plc, dengan bekalan pertama dijangka siap sebelum Mei ini.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan