Skip to main content

Iklan

Iklan

Thailand catat 198 kes baru COVID-19, siap uji vaksin dibangunkan sendiri

Thailand mencatatkan 198 kes baru COVID-19 dan satu kematian dalam tempoh 24 jam menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara itu setakat ini ialah 13,302 dengan 72 kematian.

Anggaran Waktu Membaca:
Thailand catat 198 kes baru COVID-19, siap uji vaksin dibangunkan sendiri

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 23 Jan 2021 09:03PM Dikemas Kini : 23 Jan 2021 09:04PM

BANGKOK: Thailand mencatatkan 198 kes baru COVID-19 dan satu kematian dalam tempoh 24 jam menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara itu setakat ini ialah 13,302 dengan 72 kematian.

Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Dr Panprapa Yongtrakul berkata kes kematian itu membabitkan seorang lelaki warga emas tempatan berusia 81 tahun dari wilayah Phichit yang mempunyai masalah kesihatan dan beliau diuji positif pada 3 Jan lepas sebelum meninggal dunia pada Jumaat malam. 

Daripada 198 kes baaru itu, Dr Panprapa berkata 180 adalah jangkitan tempatan yang menyaksikan 111 dikesan melalui pengesanan kes aktif (107 di Samut Sakhon dan empat di Bangkok) manakala 18 merupakan kes import.

“Daripada sejumlah 13,302 kes COVID-19 yang dilaporkan di negara ini sejak Januari tahun lepas, sebanyak 10,945 kes adalah jangkitan tempatan termasuk 4,495 yang dikesan melalui pengesanan kes aktif manakala 2,357 merupakan kes import,” katanya pada taklimat harian COVID-19 di sini hari ini.

Sementara itu, timbalan jurucakap Kementerian Hal Ehwal Luar Natapanu Nopakun berkata saintis perubatan dari Fakulti Perubatan Universiti Chulalongkorn di Bangkok bersiap sedia untuk ujian klinikal pertamanya ke atas vaksin COVID-19 yang dibangunkan secara tempatan pada April.

Beliau berkata vaksin itu, ChulaCov19 yang dibangunkan fakulti berkenaan, menggunakan Messenger RNA atau mRNA yang membolehkan tubuh mengeluarkan protein bagi mencetuskan respons imun terhadap virus tersebut.

Natapanu berkata teknologi itu digunakan syarikat peneraju dalam bidang farmaseutikal seperti Moderna, Pfizer serta BioNTech dan terbukti mempunyai kadar keberkesanan lebih 90 peratus. 

“Sekumpulan sukarelawan berusia lingkungan 18 hingga 75 tahun dijangka disuntik dengan vaksin ini pada April. Keputusannya dijangka ketahui pada Jun. Selepas itu, pasukan penyelidik akan mempelajari mengenai dos yang sesuai bagi menghasilkan vaksin paling berkesan.

“Pasukan penyelidik kemudian akan terus ke Fasa 2 dan selepas itu, Fasa 2B. Jika semuanya berjalan lancar seperti yang dirancang, vaksin itu boleh dikeluarkan menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Thailand telah memesan sejumlah 61 juta dos vaksin COVID-19 yang dibangunkan AstraZeneca dan Universiti Oxford serta dua juta dos lagi daripada Sinovac Biotech. 

Sumber : Bernama/SU/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan