Virus Korona

Images
  • thai phuket temperature corona virus
    Pemeriksaan suhu badan dijalankan di Lapangan Terbang Phuket (Gambar: Mladen ANTONOV/AFP)

Thailand benar masuk 6 kumpulan pelawat asing mulai Julai

BANGKOK: Thailand akan membenarkan enam kumpulan warga asing masuk ke negara itu bermula Julai setelah ia mencatat sifar jangkitan tempatan COVID-19 selama 35 hari berturut-turut.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Keadaan COVID-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata pasangan dan anak-anak pemegang permit kerja, penduduk tetap serta warga asing yang berkahwin dengan rakyat Thailand dibenarkan memasuki negara itu dan akan dikuarantin selama 14 hari.

Selain itu, kata beliau, warga asing yang menjalani rawatan di negara itu, pelajar asing dan ibu bapa mereka turut dibenarkan memasuki Thailand. Mereka juga akan dikuarantin di kemudahan negara itu.

Seramai 200 pelawat perniagaan seperti ahli perniagaan, pakar dan profesional dari lima negara serta wilayah - Jepun, Singapura, Korea Selatan, China dan Hong Kong - akan dibenarkan memasuki negara itu setiap hari. 

“Mereka (pelawat perniagaan) dikecualikan daripada dikuarantin selama dua minggu menerusi kemasukan ‘fast-track’. Bagaimanapun, mereka haruslah diuji negatif COVID-19 sebelum dan selepas tiba (di lapangan terbang),” katanya di taklimat harian COVID-19 hari ini (29 Jun).

Menurutnya lagi CCSA turut bersetuju membuka semula sembilan pusat pemeriksaan sempadan di sembilan wilayah termasuk Rumah Kastam Ban Prakop di Na Thawi, wilayah Songkhla, sempadan Thailand-Malaysia, Tak, Mea Hong Son, Chiang Rai dan Kanchanaburi bagi mempromosikan urus niaga di sempadan bersama negara-negara jirannya.

Awal dari itu, Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan-o-cha yang mempengerusikan mesyuarat CCSA bersetuju dengan cadangan berkenaan hari ini.

Thaweesilp berkata dalam mesyuarat itu, Thailand bersetuju membuka semula semua perniagaan dan tempat-tempat termasuk sekolah serta tempat hiburan seperti pub, bar dan karaoke bermula Rabu. Ini dengan garis panduan kesihatan yang ketat serta memastikan terdapat penjarakan sosial. 

Beliau berkata tempat hiburan yang ditutup lebih tiga bulan juga dibenarkan beroperasi hingga tengah malam.

Sementara itu, Thailand merekodkan tujuh kes baru COVID-19 - kesemua adalah warga Thailand yang baru pulang dari luar negara - dalam tempoh 24 jam sekali gus menjadikan jumlah kes sebanyak 3,169 dengan 58 kematian. 

Hari ini adalah hari ke 35 sifar jangkitan tempatan di negara tersebut. 


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

- BERNAMA/FZ/fz

Top