Koronavirus

Images
  • M'sia Covid-19
    (Gambar: AP Photo/Vincent Thian)

Terus melebihi 3,000: M'sia catat lebih 3,800 kes baru COVID-19

KUALA LUMPUR: Malaysia terus merekodkan kes harian COVID-19 melebihi angka 3,000 dengan sejumlah 3,807 kes baru dicatatkan dalam tempoh 24 jam sekali gus menjadikan kes kumulatif COVID-19 di dalam negara itu kini 444,484 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menerusi hantaran di laman Twitternya berkata dalam tempoh itu, Selangor kekal merekodkan jumlah kes harian tertinggi dengan 1,149 kes diikuti Sarawak (649) dan Kelantan (329). 

Kuala Lumpur pula mencatat 320 kes; Johor (257); Pulau Pinang (245); Kedah (224); Negeri Sembilan (144); Perak (119); Sabah (96); Terengganu (93); Melaka (88); Pahang (77); Putrajaya (11); Labuan dan Perlis masing-masing tiga kes.

Sementara itu, Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan media berkata dalam tempoh 24 jam juga, sebanyak 3,454 kes sembuh dicatatkan menjadikan jumlah kumulatifnya 405,388 kes manakala kes aktif kini 37,396.

Beliau berkata sejumlah 434 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 224 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan manakala jumlah kematian akibat pandemik itu meningkat kepada 1,700 kes berikutan 17 kematian baru dilaporkan hari ini.

Terdapat 19 kluster baru dikenal pasti hari ini melibatkan tujuh kluster tempat kerja, masing-masing lima kluster komuniti dan keagamaan serta dua kluster pendidikan lain.

"Kluster tempat kerja berkenaan ialah Kluster Balakong Jaya Tiga dan Kluster Jalan Raja Musa di Selangor;  Kluster Jalan Maharani, Johor; Kluster Bukit Minyak Lapan, Pulau Pinang; Kluster Dah Empat Kota, Kedah; Kluster Kompleks Empat, Sabah dan Kluster Gudang Genting, Pahang," katanya.

Kluster keagamaan pula adalah Kluster Desa Kemuning dan Kluster Jalan Haji Alias di Selangor; Kluster Pekan Pasir Mas, Kelantan; Kluster Jalan Kesyukuran, Johor dan Kluster Dah Lalang, Kedah.

Selain itu, kluster komuniti melibatkan Kluster Ulu Anap dan Kluster Emperan di Sarawak; Kluster Kampung Sawah, Johor; Kluster Pelagat Tiga, Terengganu dan Kluster Parit Lima, Perak manakala kluster pendidikan lain pula membabitkan Kluster Jalan Jurutera, Selangor dan Kluster Jalan Baling, Perak.

Dr Noor Hisham berkata jumlah keseluruhan kluster yang ditamatkan ialah 1,359 kluster manakala jumlah kluster aktif ialah 448.

- BERNAMA/FZ/fz

Top