Skip to main content

Iklan

Iklan

Tempoh kuarantin individu terdedah COVID-19 dikurangkan dari 14 kepada 10 hari

Mulai minggu depan, tempoh kuarantin bagi mereka yang terdedah kepada COVID-19 akan dikurangkan dari 14 kepada 10 hari, umum Kementerian Kesihatan (MOH) pada Jumaat (10 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Tempoh kuarantin individu terdedah COVID-19 dikurangkan dari 14 kepada 10 hari

Gambar fail: Calvin Oh

Diterbitkan : 10 Sep 2021 04:59PM Dikemas Kini : 10 Sep 2021 05:48PM

SINGAPURA: Mulai minggu depan, tempoh kuarantin bagi mereka yang terdedah kepada COVID-19 akan dikurangkan dari 14 kepada 10 hari, umum Kementerian Kesihatan (MOH) pada Jumaat (10 Sep).

Ini kerana varian Delta mempunyai tempoh inkubasi lebih singkat - purata kurang empat hari berbanding purata enam hari bagi varian asal.

"Ini bermakna ia akan mengambil purata empat hari selepas seseorang itu terdedah kepada virus untuk dikesan pada individu berkenaan," terang MOH dalam satu kenyataan media.

Buat masa ini, tempoh kuarantin ditetapkan selama 14 hari untuk mengambil kira tempoh inkubasi maksimum COVID-19.

"Oleh itu, kami akan mengurangkan tempoh kuarantin dari 14 hari kepada 10 hari bermula dari tarikh pendedahan terakhir, selagi individu yang dikuarantin itu diuji negatif COVID-19 pada akhir tempoh kuarantinnya," tambah MOH.

Sebaik dibenarkan keluar daripada kuarantin, individu itu perlu terus mengambil ujian pantas antigen setiap hari hingga hari ke-14 untuk mengurangkan sebarang baki risiko jangkitan.

Namun, perubahan-perubahan tersebut tidak akan dilaksanakan ke atas penghuni dormitori, menurut MOH, kerana risiko jangkitan lebih besar memandangkan aturan kehidupan secara berkumpulan di situ. Sektor-sektor mungkin juga mempunyai keperluan tambahan sendiri.

"Ini akan kurang menjejas orang ramai tetapi tetap dapat mengesan sebahagian besar kes jangkitan," kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung di sidang media pasukan bertindak berbilang kementerian mengenai COVID-19 pada Jumaat.

Tempoh kuarantin lebih singkat itu juga tidak dilaksanakan ke atas pelawat yang memasuki Singapura.

MAKLUMAN KESIHATAN AWAM

Selan itu, MOH akan mengutamakan sumber-sumber pengesanan kontak untuk mencegah kelompok-kelompok besar yang berisiko tinggi dan sekitaran di mana orang ramai mudah dijangkiti.

Kementerian itu menyatakan ia akan bergantung kepada TraceTogether untuk mengenal pasti kontak rapat kes COVID-19. Ia juga akan menghantar amaran atau makluman risiko kesihatan kepada kontak-kontak rapat kes COVID-19, satu langkah yang diumumkan minggu lalu.

Mereka yang menerima amaran risiko kesihatan akan diwajibkan di bawah undang-undang untuk menjalani ujian rantaian tindak balas polimerase (PCR) dan mengasingkan diri sendiri hingga mereka mendapat keputusan negatif menyusuli ujian pertama mereka.

Selepas itu, mereka perlu terus mengambil ujian pantas antigen dan satu lagi ujian PCR pada hari ke-14.

Mereka yang menerima makluman risiko kesihatan pula tidak dikenakan langkah-langkah tersebut tetapi "amat digalakkan" agar mengambil ujian PCR secepat mungkin. Mereka yang mendapat salah satu daripada makluman itu juga harus mengurangkan interaksi sosial selama 14 hari.

Sementara itu, anggota keluarga kes disahkan COVID-19 akan dikehendaki menjalani kuarantin sendiri.

Lebih banyak maklumat tentang aturan kuarantin kendiri dan sokongan yang diberikan kepada golongan sedemikian akan dikeluarkan kelak.  

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan