Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tarikh akhir fail cukai IRAS dilanjutkan; khidmat kaunter dihadkan setakat janji temu

Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) menawarkan lanjutan secara automatik bagi tarikh akhir pemfailan cukai buat individu dan perniagaan sebagai sebahagian daripada sokongannya kepada para pembayar cukai di tengah-tengah wabak COVID-19. 

Anggaran Waktu Membaca:
Tarikh akhir fail cukai IRAS dilanjutkan; khidmat kaunter dihadkan setakat janji temu

(Gambar hiasan: Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 04 Apr 2020 06:40PM Dikemas Kini : 04 Apr 2020 06:42PM

SINGAPURA: Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) menawarkan lanjutan secara automatik bagi tarikh akhir pemfailan cukai buat individu dan perniagaan sebagai sebahagian daripada sokongannya kepada para pembayar cukai di tengah-tengah wabak COVID-19.

Tarikh akhir pemfailan bagi cukai pendapatan peribadi, termasuk pemilik tunggal dan perniagaan perkongsian, akan dilanjutkan sehingga 31 Mei, menurut kenyataan media IRAS pada Sabtu (4 Apr).

Tarikh akhir pemfailan juga dilanjutkan untuk pulangan Barangan dan Perkhidmatan (GST) bagi tempoh perakaunan yang berakhir pada Mac 2020, anggaran pendapatan tercukai (ECI) bagi syarikat dengan tahun kewangan yang berakhir pada Januari 2020 serta cukai pendapatan bagi amanah, kelab dan persatuan.

Pembayar cukai yang memerlukan bantuan peribadi bagi pemfailan cukai dan khidmat kaunter pembayar cukai lain mesti membuat janji temu dua hari lebih awal sebelum pergi ke Pusat Perkhidmatan e-Pemfailan dan Pusat Khidmat Pembayar Cukai dan Perniagaan (TBSC) di Bangunan Penguasa Hasil Mahsul Singapura.

Lanjutan itu adalah bagi tempoh dari 7 April hingga 4 Mei, sejajar dengan langkah-langkah jarak selamat yang dipertingkatkan di Singapura, menurut IRAS.

Pembayar cukai yang mempunyai sebarang pertanyaan digalakkan supaya berurusan dengan IRAS secara digital menerusi wadah sembang online, panggilan telefon atau emel.

Pembayar cukai juga boleh mengakses portal myTax IRAS untuk beberapa e-khidmat termasuk melihat jumlah cukai yang perlu dibayar dan memohon bagi pelan pembayaran GIRO.

IRAS turut memberi amaran kepada pembayar cukai terhadap penipuan menerusi panggilan telefon atau WhatsApp yang meminta maklumat peribadi kononnya bagi pihak penguasa tersebut.

IRAS menyatakan ia tidak akan meminta pembayar cukai untuk membuat pembayaran kepada bank akaun pihak ketiga menerusi WhatsApp mahupun panggilan telefon.  


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan