Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Taman tema M'sia dibenar beroperasi semula pada Julai

Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Isnin (29 Jun) mengumumkan lebih banyak kelonggaran termasuk membenarkan taman tema beroperasi, selain saringan suhu badan dilakukan sekali sahaja di pusat-pusat beli belah.

Anggaran Waktu Membaca:
Taman tema M'sia dibenar beroperasi semula pada Julai

(Gambar: Agensi berita)

Diterbitkan : 29 Jun 2020 04:23PM Dikemas Kini : 29 Jun 2020 04:29PM

PUTRAJAYA: Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Isnin (29 Jun) mengumumkan lebih banyak kelonggaran termasuk membenarkan taman tema beroperasi, selain saringan suhu badan dilakukan sekali sahaja di pusat-pusat beli belah.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, bermula 1 Julai ini, 54 buah taman tema termasuk taman tema air akan mula beroperasi, melibatkan lebih 10,000 tenaga kerja di seluruh negara.

Selaras dengan keputusan hari ini juga, saringan suhu badan pelanggan pusat beli belah dilakukan sekali sahaja iaitu di pintu masuk utama dan bukan di setiap kedai dalam pusat beli belah.

Bagaimanapun, pengusaha semua taman tema dan pusat beli belah perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk memastikan jarak sosial dipatuhi pada setiap masa.

“Bagi taman tema, had pengunjung adalah berdasarkan kapasiti ruang serta saiz kawasan taman tema. Pengunjung juga perlu menjalani proses pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera, serta pemeriksaan suhu badan dan penyediaan pensanitasi tangan,” katanya dalam sidang media harian hari ini.

Jelasnya, bagi pengusaha taman tema air khususnya, mereka perlu mengikut Garis Panduan Pengurusan dan Penyenggaraan Kolam Renang Awam oleh Pihak Berkuasa Tempatan, serta Garis Panduan Pemantauan Kualiti Kolam Air.

Menurutnya, garis panduan serta SOP boleh diperolehi dari laman Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan juga Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk maklumat lanjut.

Kedai-kedai di pusat beli belah dan hotel, walaupun tidak lagi perlu menyaring suhu badan pelanggan namun masih perlu mengambil rekod kehadiran pengunjung seperti nama dan nombor telefon melalui aplikasi MySejahtera atau secara manual.

“Ini bagi membolehkan pengesanan kontak dilakukan, sekiranya terdapat insiden jangkitan COVID-19. Ini kerana kemungkinan terdapat pelanggan yang pergi ke 10 buah kedai, jadi bagi memastikan pengesanan individu sekiranya dijangkiti COVID-19, Kementerian Kesihatan (KKM) boleh mendapatkan maklumat dan sebab itu kita masih mewajibkan rekod kehadiran,” katanya.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai majlis jamuan perkahwinan Ismail Sabri berkata, mesyuarat khas juga bersetuju, membenarkan jumlah tetamu tidak melebihi 250 orang pada satu-satu masa bagi majlis perkahwinan dan akad nikah di masijd, dewan, rumah dan sebagainya.

“Had tetamu ini tertakluk kepada saiz keluasan dan kapasiti ruang serta pematuhan SOP berkaitan yang berkuatkuasa. Kebenaran jumlah tetamu ini juga diberi kepada Majlis Jamuan Perkahwinan di Rumah Ibadat dan Persatuan Agama Bukan Islam,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan, kerajaan membenarkan penganjuran majlis sosial termasuk majlis perkahwinan, majlis pertunangan, majlis berkaitan keagamaan seperti tahlil, akikah, doa selamat serta majlis sambutan ulang tahun perkahwinan dan hari lahir mulai 1 Julai.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan