Skip to main content

Iklan

Iklan

Sydney buka semula bandar 'selepas 100 hari yang panjang'

Kafe, gim dan restoran di Sydney hari ini (11 Okt) menyambut semula kedatangan para pelanggan yang sudah lengkap divaksin, setelah hampir empat bulan bandar tersebut berada di bawah perintah berkurung. 

Anggaran Waktu Membaca:
Sydney buka semula bandar 'selepas 100 hari yang panjang'

Orang ramai makan tengah hari di sebuah taman menghadap Sydney Opera House di Sydney pada 10 Okt 2021. (Gambar: Steven Saphore/AFP)

Diterbitkan : 11 Oct 2021 09:30AM Dikemas Kini : 11 Oct 2021 09:34AM

SYDNEY: Kafe, gim dan restoran di Sydney hari ini (11 Okt) menyambut semula kedatangan para pelanggan yang sudah lengkap divaksin, setelah hampir empat bulan bandar tersebut berada di bawah perintah berkurung. Ini sedang Australia menyasarkan untuk hidup dengan COVID-19 melalui kadar vaksinasi yang lebih tinggi dan untuk membuka semula negara secara bertahap-tahap.

"Saya rasa semua orang di seluruh negeri agak teruja selepas 100 hari yang terasa begitu panjang," Perdana Menteri New South Wales Dominic Perrottet kepada Seven News hari ini.

Lebih lima juta penduduk di Sydney diletakkan di bawah sekatan yang ketat sejak Jun untuk membendung penularan varian Delta yang amat berjangkit. Varian itu sudahpun merebak ke Melbourne dan ibu kota, Canberra, lantas memaksa penguatkuasaan perintah berkurung.

Encik Perrottet menggesa penduduk Sydney supaya mengawal keghairahan mereka ketika keluar daripada perintah berkurung sedang beliau memberi amaran bahawa jangkitan mungkin meningkat semula berikutan pembukaan semula itu.

Di bawah peraturan yang dilonggarkan, 10 individu lengkap divaksin boleh berkumpul di rumah manakala 100 orang boleh menghadiri majlis perkahwinan dan pengebumian.

Kedai runcit boleh dibuka dengan kapasiti yang dikurangkan sedang wilayah itu meningkatkan usaha untuk mencecah kadar vaksinasi sebanyak 80 peratus sekitar lewat Oktober apabila lebih banyak sekatan akan dilonggarkan. Namun, mereka yang belum divaksin mesti kekal duduk di rumah sehingga 1 Disember.

New South Wales pula menarik balik peraturan perintah berkurung selepas mencapai sasaran 70 peratus penduduk dewasa yang divaksin sepenuhnya. Wilayah bebas virus itu meninjau bagaimana keadaannya hidup dengan COVID-19.

Dengan pelancaran vaksinasi semakin meningkat, Australia merancang untuk kembali ke keadaan sedia kala secara berperingkat-peringkat dengan membenarkan penduduk lengkap divaksin untuk memasuki dan meninggalkan negara secara bebas mulai November. Walaupun demikian, New South Wales merancang untuk mempercepatkan tarikh itu.

Australia menutup sempadan antarabangsanya sejak Mac 2020, sekali gus membantu untuk mengekalkan jumlah kes koronavirus pada bilangan yang agak rendah dengan sekitar 127,500 kes dan 1,440 kematian.

New South Wales hari ini melaporkan 496 kes jangkitan tempatan baru, dengan sebahagian besarnya di Sydney, meningkat dari 477 pada Ahad.  

Sumber : Agensi berita/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan