Skip to main content

Iklan

Iklan

Subsidi ujian wajib COVID-19 bagi pekerja risiko tinggi dilanjutkan hingga hujung tahun

Pemerintah akan terus memberi subsidi bagi menjalankan ujian wajib COVID-19 ke atas para pekerja yang sudah divaksin yang bekerja atau tinggal dalam sektor berisiko lebih tinggi sehingga hujung tahun ini, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) hari ini (27 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Subsidi ujian wajib COVID-19 bagi pekerja risiko tinggi dilanjutkan hingga hujung tahun

Seorang pekerja menjalani ujian swab. (Gambar fail: REUTERS)

Diterbitkan : 27 Aug 2021 06:44PM Dikemas Kini : 27 Aug 2021 06:49PM

SINGAPURA: Pemerintah akan terus memberi subsidi bagi menjalankan ujian wajib COVID-19 ke atas para pekerja yang sudah divaksin yang bekerja atau tinggal dalam sektor berisiko lebih tinggi sehingga hujung tahun ini, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) hari ini (27 Ogos).

Namun, syarikat-syarikat mesti bersedia untuk memperuntukkan kos-kos sedemikian dalam operasi perniagaannya bermula tahun depan.

Buat masa ini Pemerintah mewajibkan syarikat-syarikat menjalankan ujian rutin berjadual tindak balas polimerase (PCR) dan ujian cepat dan mudah (FET) ke atas pekerja-pekerja yang tinggal di dormitori serta mereka yang bekerja dalam sektor-sektor seperti sektor binaan, marin, pemprosesan, penerbangan dan maritim.

Para pekerja yang bekerja dalam sekitaran, di mana klien atau pelanggan tidak memakai pelitup dan lebih mudah dijangkiti seperti cawangan F&B, khidmat jagaan peribadi, gim dan khidmat jagaan kesihatan juga dikehendaki menjalani ujian sedemikian.

Pemerintah sebelum ini melanjutkan subsidi bagi ujian wajib dalam sektor-sektor tersebut sehingga 30 September tahun ini.

"Sedang kami menyambung semula lebih banyak kegiatan, ujian wajib rutin berjadual PCR dan FET akan terus memainkan peranan utama untuk mengurangkan risiko penularan COVID-19 dalam sektor-sektor tersebut," menurut MOH.

Bagi para pekerja yang belum divaksin, pemerintah juga akan memberi subsidi kos ujian COVID-19 untuk mereka yang tidak layak menerima vaksin disebabkan keadaan perubatan sehingga 31 Disember tahun ini.

Ini termasuk para pekerja yang harus menjalani ujian tambahan di bawah rejim "Vaksin atau Ujian Kerap" (VoRT) mulai 1 Oktober dan mereka yang harus menjalani ujian PCR dan FET.

Di bawah VoRT, para pekerja yang belum divaksin dikehendaki menjalani ujian dua kali seminggu dan dibiayai sendiri.

Para pekerja yang belum divaksin dan bekerja dalam sektor-sektor di mana PCR atau FET diwajibkan memang sudahpun dikehendaki menjalani ujian berkala di bawah rejim-rejim tersebut.

Ujian-ujian wajib itu akan terus diberi subsidi oleh Pemerintah. Oleh itu, dalam kes-kes sedemikian, para pekerja yang belum divaksin hanya perlu membayar bagi ujian tambahan yang perlu dijalani untuk memenuhi keperluan ujian dua kali seminggu di bawah VoRT.

MOH turut menggesa semua majikan agar mempermudahkan vaksinasi bagi para pekerja.

"Tenaga kerja yang lengkap divaksin memberi jaminan tempat kerja yang selamat dan mewujudkan sekitaran selamat bagi semua orang," tambah MOH.

Menjangkaui 2021, para majikan dan peniaga harus bersiap sedia untuk memperuntukkan kos-kos ujian tersebut dalam operasi perniagaan biasa, menurut MOH lagi.

"Kami akan terus menyemak subdisi-subsidi yang diberikan untuk menjalankan ujian bagi memastikan ia menyokong usaha kesihatan awam kami sambil mengongsi beban kos dengan saksama bersama para pembayar cukai, majikan dan individu."

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan