Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Seorang kakitangan prasekolah antara kes baru COVID-19 di S'pura; lagi 1,018 pesakit dibenar pulang

Sebanyak 373 kes baru COVID-19 dilaporkan di Singapura sehingga tengah hari Khamis (28 Mei), menjadikan jumlah kes keseluruhan 33,249.

Anggaran Waktu Membaca:
Seorang kakitangan prasekolah antara kes baru COVID-19 di S'pura; lagi 1,018 pesakit dibenar pulang

Seorang wnaita berjalan di Boon Tat Street semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan di Singapura.

Diterbitkan : 29 May 2020 12:44AM Dikemas Kini : 29 May 2020 12:48AM

SINGAPURA: Sebanyak 373 kes baru COVID-19 dilaporkan di Singapura sehingga tengah hari Khamis (28 Mei), menjadikan jumlah kes keseluruhan 33,249.

Tiada rakyat Singapura atau Penduduk Tetap dalam kalangan kes baru itu, iaitu yang pertama kali sejak 23 Feb.

372 daripada kes baru itu adalah pemegang permit kerja yang tinggal di dormitori pekerja asing, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kemas kini hariannya.

MOH menyatakan ia terus mengesan lebih banyak kes dalam kalangan pemegang permit kerja yang tinggal di dormitori, termasuk dormitori yang diubah dari kilang disebabkan oleh ujian menyeluruh yang dilakukan di premis-premis tersebut.

Dua kelompok baru dikenal pasti di dormitori yang terletak di 15 Kaki Bukit Road 4 dan 31 Kranji Crescent.

Satu-satunya kes jangkitan dalam masyarakat pada Khamis adalah seorang pemegang pas kerja berusia 49 tahun dari China. Wanita itu merupakan seorang kakitangan prasekolah dan diuji positif hasil ujian proaktif bagi sektor itu.

Beliau tidak mengalami simptom dan didiagnos menghidap COVID-19 pada Selasa (26 Mei). MOH tidak mendedahkan tempat kerja beliau.

Menurut MOH, lebih 39,000 kakitangan prasekolah diuji sejauh ini sebagai sebahagian daripada ujian proaktifnya. Daripada jumlah itu, 13 diuji positif menggunakan ujian tindak balas polimerase (PCR) iaitu ujian sensitif yang boleh mengesan cebisan kecil asid ribonukleik (RNA) virus COVID-19.

Bagi menentukan jika ia adalah jangkitan lama atau baru, MOH menyatakan pihaknya menjalankan kajian epidemiologi terhadap kes-kes berkenaan.

"Daripada 13 kes ini, 11 daripada mereka mendapat keputusan positif bagi ujian serologi, yang menunjukkan jangkitan lama. Individu ini tidak mungkin boleh menjangkiti orang lain apabila mereka diuji semasa pemeriksaan baru-baru ini, tetapi mereka mungkin mengeluarkan cebisan kecil virus RNA, yang tidak lagi boleh merebak and berjangkit kepada orang lain. Hasil dua ujian masih belum diperolehi, termasuk kes hari ini," menurut MOH.

Sebanyak 1,018 lagi pesakit COVID-19 dibenarkan pulang. Secara keseluruhan, 18,294 sudah pulih sepenuhnya daripada jangkitan itu dan dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan jagaan masyarakat.

510 pesakit kini masih dirawat di hospital. Daripada jumlah itu, sebahagian besar dalam keadaan stabil atau beransur pulih manakala 7 masih dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi.

Lagi 14,422 diasingkan dan dijaga di kemudahan masyarakat. Mereka adalah pesakit yang mengalami simptom sederhana atau sihat secara klinikal namun masih diuji positif bagi COVID-19.

Setakat ini, 23 pesakit sudah meninggal dunia kerana komplikasi disebabkan oleh jangkitan COVID-19.

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan