Koronavirus

Images

Semua pekerja asing di dormitori selesai diuji jelang pertengahan Ogos

SINGAPURA: Jawatankuasa Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) bagi COVID-19 (MTF) hari ini (17 Jul) mengumumkan mereka kini di peringkat terakhir bagi menangani penularan COVID-19 bagi kes-kes di dormitori.

Setakat Khamis, 232,000 daripada sekitar 300,000 pekerja asing di dormitori sudah pulih atau bebas COVID-19.

Menurutnya lagi, kesemua pekerja di dormitori dijangka selesai menjalani ujian menjelang pertengahan Ogos yakni empat bulan selepas tempat tinggal pekerja asing di merata negeri diisytihar sebagai kawasan pengasingan.
Pengerusi Bersama MTF, Encik Lawrence Wong berkata situasi menangani penularan COVID-19 bagi kes-kes dormitori bertambah baik.

Ini adalah hasil daripada teknik berbeza-beza yang dijalankan oleh pasukan barisan hadapan dengan menggunakan ujian serologi dan PCR secara serentak.

"Setakat ini kita mempunyai sekitar 230,000 pekerja yang sudah sembuh atau diuji bebas dari virus tersebut. Mereka merangkumi pekerja di dormitori, sama ada dormitori khusus atau kilang yang diubah menjadi dormitori, walaupun kami mengendalikan sekitar 300,000 pekerja, namun kita telah membuat kemajuan yang baik untuk menangani penularan 230,000 dari mereka. Selebihnya - semuanya sudah diasingkan, menunggu 'ujian terakhir untuk diisytihar bebas'," kata Encik Wong semasa sidang media itu.

"Kami yakin menjelang pertengahan Ogos ini kami dapat menyelesaikannya, mungkin lebih awal dari itu. Jadi kami sedang melakukannyauntuk membolehkan pekerja kembali bekerja dengan selamat selepas itu," katanya.

Encik Lawrence menambah, meski para pekerja di dormitori sudah disahkan bebas daripada jangkitan, pasukannya akan tetap menjalankan ujian dua minggu sekali bagi memastikan mereka tidak dijangkiti virus itu buat kali kedua.   


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

- BERITAmediacorp/fz

Top