Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Seluruh M'sia kecuali Sarawak dikenakan PKP mulai 22 Jan

Seluruh negara, kecuali Sarawak, akan berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas kerajaan Malaysia turut menguatkuasakan perintah itu di Perak, Kedah, Perlis, Negeri Sembilan, Pahang dan Terengganu mulai 22 Jan ini hingga 4 Feb depan.

Anggaran Waktu Membaca:
Seluruh M'sia kecuali Sarawak dikenakan PKP mulai 22 Jan

Orang ramai di M'sia memakai pelitup di tengah COVID-19 (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 19 Jan 2021 08:02PM Dikemas Kini : 19 Jan 2021 08:03PM

KUALA LUMPUR: Seluruh negara, kecuali Sarawak, akan berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas kerajaan Malaysia turut menguatkuasakan perintah itu di Perak, Kedah, Perlis, Negeri Sembilan, Pahang dan Terengganu mulai 22 Jan ini hingga 4 Feb depan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dibuat setelah terdapat peningkatan pada jumlah kes positif COVID-19 dalam masyarakat di negeri-negeri terbabit.

"Berdasarkan penilaian risiko dan atas nasihat KKM (Kementerian Kesihatan) kerajaan bersetuju supaya PKP dilaksanakan di negeri-negeri tersebut bagi mengekang penularan COVID-19," katanya dalam sidang media mengenai perkembangan PKP hari ini (19 Jan).

Kerajaan sebelum ini menguatkuasakan PKP di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah mulai 13 hingga 26 Jan.

Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan pula dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) manakala di Perlis dan Sarawak pula diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sepanjang tempoh tersebut. 

Pada 16 Jan lalu, PKP dilaksanakan di Kelantan hingga 26 Jan ini.

Berhubung pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) semasa PKP di negeri terbabit, beliau berkata SOP adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini, antaranya penduduk tidak dibenarkan keluar kecuali untuk membeli barangan keperluan serta pergerakan keluar masuk bagi semua kawasan PKP hanya boleh dilakukan dengan kebenaran polis.

Bagaimanapun katanya restoran, kedai, gerai makan, kenderaan bersaji, penjaja tepi jalan, medan selera, pusat penjaja, kiosk, gerai makan tepi jalan, kedai runcit dan kedai serbaneka dibenarkan beroperasi antara pukul 6.00 pagi hingga pukul 8.00 malam.

Beliau berkata penjualan makanan hanya secara dibungkus untuk dibawa pulang, pandu lalu atau melalui perkhidmatan penghantaran mulai pukul 6.00 pagi hingga 8.00 malam, manakala hospital dan klinik dibenarkan beroperasi 24 jam.

“Kedai farmasi dan kedai keperluan harian pula boleh beroperasi dari pukul 6.00 pagi hingga 8.00 malam, stesen minyak boleh beroperasi dari pukul 6.00 pagi hingga 10.00 malam kecuali di lebuh raya selama 24 jam,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata PKP Diperketatkan (PKPD) di Apartment Amber Court, Bentong, Pahang akan ditamatkan esok (20 Jan) seperti yang dijadualkan, susulan trend penurunan kes COVID-19 yang dilaporkan dan tiada lagi sampel saringan menunggu keputusan.

Turut ditamatkan esok ialah PKPD di Pusat Pemulihan Akhlak di Muar, Johor, kecuali bagi blok petempatan di blok C dan blok sekolah yang dilanjutkan hingga 3 Feb depan berikutan terdapat 85 baki kes aktif di blok berkenaan.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan