Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sekitar 10,000 kanak-kanak kembali ke prasekolah sewaktu pemutus jangkitan COVID-19: ECDA

Sekitar 10,000 kanak-kanak prasekolah di Singapura memanfaatkan khidmat terhad prasekolah semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19, menurut Agensi Pembangunan Awal Kanak-kanak (ECDA) pada Khamis (16 Apr). 

Anggaran Waktu Membaca:
Sekitar 10,000 kanak-kanak kembali ke prasekolah sewaktu pemutus jangkitan COVID-19: ECDA

Langkah membendung penularan penyakit dilakukan di pusat My First Skool di Buangkok (Gambar fail: Matthew Mohan)

Diterbitkan : 16 Apr 2020 02:33PM Dikemas Kini : 16 Apr 2020 02:36PM

SINGAPURA: Sekitar 10,000 kanak-kanak prasekolah di Singapura memanfaatkan khidmat terhad prasekolah semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19, menurut Agensi Pembangunan Awal Kanak-kanak (ECDA) pada Khamis (16 Apr).

Jumlah itu adalah kira-kira lima peratus daripada keseluruhan kanak-kanak yang berdaftar di prasekolah di Singapura, tambah ECDA.

Sebagai sebahagian daripada langkah pemutus jangkitan untuk membendung penularan COVID-19, semua prasekolah, tadika dan pusat jagaan pelajar perlu menggantungkan khidmat amnya selama sebulan sehingga 4 Mei.

Ia kekal dibuka hanya untuk menyediakan khidmat terhad bagi kanak-kanak yang mempunyai ibu bapa bertugas dalam khidmat penting seperti jagaan kesihatan dan tidak dapat mengaturkan penjagaan alternatif.

10,000 kanak-kanak itu dihantar ke 1,200 presekolah di merata Singapura, kata seorang jurucakap ECDA dalam respons kepada pertanyaan Mediacorp. Sesetengah daripada mereka memerlukan khidmat terbatas itu hanya pada hari-hari atau tempoh tertentu, tambah beliau.

Bagi mengelakkan sebarang potensi penularan COVID-19 di pusat-pusat itu, kanak-kanak yang layak bagi khidmat terbatas itu perlu pulang ke prasekolah sedia ada mereka, kata jurucakap tersebut. Kedua-dua kakitangan dan kanak-kanak juga tidak dibenarkan untuk berpindah ke pusat-pusat yang berbeza.

Bagi pusat-pusat yang kekal dibuka pula, hanya anggota kakitangan yang diperlukan untuk khidmat terhad tersebut patut kembali ke pusat berkenaan, tambah jurucakap itu.

"Ini boleh termasuk beberapa kakitangan minimal untuk merancang pelajaran. Kakitangan prasekolah selebihnya harus bekerja dari rumah semasa tempoh pemutus jangkitan ini sejauh mungkin,” kata jurucakap itu.

Pada 6 April, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) mengumumkan bahawa ibu bapa kepada kanak-kanak prasekolah warga Singapura akan menerima 50 peratus pelepasan yuran sekolah untuk sebulan, selepas subsidi, bagi anak-anak yang tidak menghadiri kelas sewaktu tempoh pemutus jangkitan.

Pelepasan itu akan berkuat kuasa dalam invois mulai Mei 2020.  


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan