Skip to main content

Iklan

Iklan

Sekatan COVID-19 dilonggarkan lagi bagi perkahwinan, pengebumian dari 4 Ogos; lebih ramai dibenar hadir

Sekatan terhadap jumlah orang yang dibenarkan di acara perkahwinan dan pengebumian - akan dilonggarkan lagi dari 4 Ogos, tertakluk pada langkah jarak selamat.

Anggaran Waktu Membaca:
Sekatan COVID-19 dilonggarkan lagi bagi perkahwinan, pengebumian dari 4 Ogos; lebih ramai dibenar hadir

Gambar hiasan. (Gambar: Pixabay/ericaa1215)

Diterbitkan : 31 Jul 2020 01:19AM Dikemas Kini : 31 Jul 2020 01:24AM

SINGAPURA: Sekatan terhadap jumlah orang yang dibenarkan di acara perkahwinan dan pengebumian - akan dilonggarkan lagi dari 4 Ogos, tertakluk pada langkah jarak selamat.

Dalam satu kenyataan media pada Khamis (30 Jul), Kementerian Kesihatan (MOH) menyatakan bahawa pasukan bertindak pelbagai kementerian memahami perlunya "aktiviti dan acara penting diteruskan" semasa COVID-19 dan langkah itu adalah sebahagian daripada "penilaian teliti bagi aktiviti disambung semula dalam Fasa 2".

Sejak permulaan pembukaan semula Fasa 2, majlis pernikahan sudah dibenarkan berlangsung dengan dihadiri sehingga 20 orang.

Dari 4 Ogos, ia akan ditambah kepada 50 orang - termasuk pasangan yang berumahtangga, tetapi tidak termasuk kadi dan vendor - tertakluk pada had kapasiti tempat di mana majlis diadakan berdasarkan syarat pengurusan selamat.

Syarat yang sama juga ditetapkan bagi tempat-tempat seperti rumah ibadat, kawasan awam HDB dan tempat luar yang lain.

"Pernikahan di rumah, bangunan Pendaftaran Pernikahan (ROM) dan Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM), dan kawasan khas di Muzium Negara Singapura yang dikendalikan ROM akan terus dihadkan kepada sehingga 10 orang kerana tempat-tempat itu lebih kecil," menurut MOH.

Kementerian itu juga melancarkan projek perintis di mana setiap pasangan dibenarkan hanya mengadakan satu majlis resepsi yang boleh dihadiri sehingga 50 tetamu sepanjang acara itu.

Ini boleh diadakan di tempat-tempat yang mana makanan dan minuman boleh dihidangkan, termasuk restoran dan hotel, dan akan tertakluk kepada langkah jarak selamat.

Para tamu akan diasingkan kepada kumpulan tetap sehingga lima orang, dengan kumpulan-kumpulan berbeza itu tidak boleh bergaul antara satu sama lain. Satu-satunya pengecualian adalah bagi kumpulan rombongan pengantin itu yang dibenarkan sehingga 20 orang.

Semua kumpulan harus mengekalkan jarak selamat 1 meter pada setiap waktu.

Semua tetamu juga harus memakai pelitup sepanjang masa, kecuali pengantin yang dibenarkan memakai pelindung muka, tambah kementerian itu.

"Pelitup boleh ditanggalkan buat seketika untuk mengambil gambar."

Bufet layan diri, persembahan langsung atau kegiatan melibatkan nyanyian atau bercakap dan menjerit tidak dibenarkan.

Semua aktiviti berkaitan perkahwinan termasuk upacara adat harus mematuhi had berkumpul sekarang ini iaitu sehingga lima pengunjung bagi setiap keluarga dan dalam sebuah kumpulan di luar rumah, menurut MOH.

ACARA PENGEBUMIAN

Lebih ramai anggota keluarga dan rakan juga dibenarkan untuk menghadiri acara pengebumian, mulai 4 Ogos, sehingga 30 orang pada satu-satu masa. Had yang dibenarkan sekarang adalah seramai 20 orang.

MOH menyatakan ini juga "bergantung kepada had kapasiti premis itu berdasarkan syarat pengurusan selamat", sambil menambah bahawa had setiap saiz kumpulan dan langkah jarak selamat akan terus disemak semula.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan