Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

"Sedih tapi ini satu kewajipan": Pegawai khidmat pesakit berdepan COVID-19 ketepi cemuhan

Di tengah-tengah penularan COVID-19, institusi kesihatan seperti hospital dan poliklinik sudahpun melaksanakan langkah-langkah kawalan wabak yang lebih ketat.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Di tengah-tengah penularan COVID-19, institusi kesihatan seperti hospital dan poliklinik sudahpun melaksanakan langkah-langkah kawalan wabak yang lebih ketat.

Meskipun ia adalah sebahagian dari protokol keselamatan yang diwajibkan, para kakitangan kesihatan tidak terlepas dari diskriminasi oleh sesetengah anggota masyarakat.

BERITAmediacorp bertemu dengan salah seorang kakitangan barisan hadapan yang terus komited menjalankan tugas pada masa yang mencabar ini.

DICEMUH PESAKIT WALAUPUN HANYA JALANKAN TUGAS

'Kotor' dan 'mungkin dijangkiti' - adalah antara kata-kata cemuhan yang dilemparkan terhadap Cik Surinah Abdullah, 39 tahun semasa melakukan pemeriksaan kesihatan sebagai sebahagian dari tugasnya.

Sungguhpun perasaannya terguris, Pegawai Perkhidmatan Pesakit di Poliklinik Ang Mo Kio ini mencekalkan hatinya kerana sedar betapa penting peranannya terutama pada masa ini.

"Saya akan melekatkan pelekat kepada baju mereka. Berdasarkan sejarah perjalanan dan bergantung kepada keadaan kesihatan mereka. Tetapi apabila saya melakukan ini, ada beberapa pesakit yang memberi komen, saya kotor. Mungkin saya dijangkiti.

"Sudah tentu saya rasa sedih tapi saya mula ingatkan diri saya sendiri bahawa ini adalah kewajipan untuk menjaga keselamatan masyarakat. Ini adalah tugas saya dan saya akan terus melakukannya dengan baik," kata Cik Surinah.

BEKERJA LEBIH MASA, SIKAP PROFESIONAL DIUTAMAKAN

Sejak penularan COVID-19 di negara ini, pemeriksaan kesihatan telah pun dipertingkatkan di semua poliklinik.

Ini bermakna, Cik Surinah terpaksa bekerja lebih masa dan memikul beberapa tanggungjawab untuk memeriksa ratusan pesakit yang datang setiap hari.

Namun, beliau yang mula bertugas di poliklinik ini sejak 2008, tidak mengeluh malah bersikap positif dan profesional.

"Kita dikehendaki membersih tangan menggunakan cecair semasa mengambil suhu badan dan menyentuh persekitaran dan menghulurkan pelitup kepada pesakit. Jadi tak perlulah elakkan atau jauhkan diri jika anda lihat kita berpakaian seragam," kata Cik Surinah.

GULA-GULA SEBAGAI TANDA TERIMA KASIH

Cik Surinah adalah antara ribuan kakitangan kesihatan yang berdepan dengan ancaman COVID-19 setiap hari. Maka itu, beliau sangat berbesar hati bila menerima kata-kata semangat dan penghargaan dari pesakit.

Mengenang tentang pengalaman manisnya bersama sesetengah pesakit, Cik Surinah berkongsi sambil tesenyum, "Ada juga pesakit yang menghargai. Mereka berkata 'terima kasih'. Kadang-kadang mereka memberi saya gula-gula dan berkata "Ini gula-gula untuk awak untuk buat hari anda lebih baik."

Cik Surinah menekankan bahawa pemeriksaan yang dilakukan oleh para kakitangan kesihatan adalah untuk keselamatan semua orang sedang negara ini berusaha mengawal penularan COVID-19.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan