Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Sanofi labur S$637 juta bagi sebuah kilang pengeluaran vaksin di S'pura

Sanofi labur S$637 juta bagi sebuah kilang pengeluaran vaksin di S'pura.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 12 Apr 2021 08:51PM Dikemas Kini : 13 Apr 2021 01:00AM

PARIS: Syarikat pembuat ubat-ubatan Sanofi hari ini (12 Apr) menyatakan ia akan melabur €400 juta (S$637 juta) ke atas sebuah tapak baru pengeluaran vaksin di Singapura dalam tempoh lima tahun.

Tapak baru itu akan menyediakan Sanofi dengan keupayaan untuk menghasilkan vaksin-vaksin inovatif berskala besar bagi Asia dan memberikan respons kepada risiko pandemik pada masa akan datang, menurut syarikat itu dalam satu kenyataan.

Projek itu dijangka menyediakan sehingga 200 pekerjaan tempatan, tambahnya.

Menurut Sanofi, ia menjangkakan untuk memulakan kerja-kerja pembinaan di tapak itu pada suku ketiga 2021 dan akan beroperasi sepenuhnya pada suku pertama 2026.

"Tapak di Singapura itu akan melengkapi keupayaan-keupayaan pengeluaran sedia ada Sanofi di Eropah dan Amerika Utara dan akan menjadi pusat kecemerlangan serantau bagi pengeluaran vaksin di Asia," menurut syarikat itu.

"Kami sangat gembira dengan kerjasama utuh dengan Lembaga Kemajuan Ekonomi Singapura (EDB) untuk sampai ke tahap pencapaian menarik ini," kata Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Global Sanofi Pasteur, Thomas Triomphe.

Pengerusi EDB Beh Swan Gin berkata: "Keputusan Sanofi untuk menempatkan pusat pengeluaran vaksin dengan keupayaan digital yang pertama di Asia, di Singapura, untuk membekalkan kepada pasaran di rantau ini dan menjangkauinya adalah pengesahan kepada kedudukan Singapura sebagai sebuah pusat terkemuka bagi perkilangan canggih."

EDB akan terus menggalak pendigitalan, automasi dan inovasi untuk merubah sektor perkilangan dan mewujudkan pekerjaan-pekerjaan yang baik untuk rakyat Singapura, kata beliau.

Kilang di Singapura akan menempatkan beberapa modul digital yang membolehkan penghasilan tiga daripada empat vaksin serentak, berbanding hanya satu di tapak-tapak perindustrian sedia ada, menurut Sanofi.

"Selain itu, kilang tersebut fleksibel untuk memanfaatkan berbilang platform teknologi pengilangan vaksin berdasarkan jenis-jenis sel yang berbeza.

"Modulariti dan fleksibiliti ini membolehkan penghasilan vaksin tertentu untuk diutamakan dalam tempoh lebih pantas bergantung kepada keperluan kesihatan awam," menurut syarikat tersebut.

Tapak itu juga direka supaya sifar pengeluaran karbon dan mengurangkan penggunaan sumber serta pengeluaran sisa.

Minggu lalu, Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Chan Chun Sing berkata Singapura sedang berunding dengan beberapa syarikat farmaseutikal untuk menghasilkan vaksin dan terapeutik di sini.

"Syarikat-syarikat farmaseutikal termasuk Amgen, Pfizer, GSK dan Sanofi, sudah melabur di sini untuk memanfaatkan bakat-bakat kita yang berkemahiran, komitmen kepada kajian dan pembangunan, keupayaan perkilangan yang kukuh dan ketersambungan global yang cemerlang," kata Encik Chan.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan parlimen tentang bagaimana Singapura sedang mempermudah pengilangan vaksin-vaksin COVID-19 dan bagaimana Pemerintah sedang memastikan negara berkeupayaan untuk menghasilkan vaksin-vaksin untuk digunakan rakyat dalam pandemik pada masa-masa akan datang.

Sanofi sudahpun membangunkan calon vaksin COVID-19 berdasarkan protein dengan syarikat farmaseutikal Britain, iaitu GSK.

Kedua-dua syarikat menyasarkan untuk mencapai tahap akhir ujian vaksin itu dalam suku kedua 2021 dan untuk vaksin itu diluluskan dalam suku keempat.

Sanofi juga sedang bekerjasama dengan syarikat terapeutik Amerika Syarikat, Translate Bio, bagi satu lagi calon vaksin COVID-19 berdasarkan teknologi messenger RNA.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan