Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura utamakan suntikan vaksin bagi kumpulan berisiko lebih tinggi, golongan mudah terdedah kepada COVID-19

Sebaik sahaja vaksin bagi COVID-19 tersedia, pendekatan Singapura adalah untuk melindungi kumpulan berisiko lebih tinggi atau individu yang mungkin lebih mudah terdedah kepada jangkitan itu, kata Menteri Kesihatan Gan Kim Yong pada Jumaat (4 Sep). 

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura utamakan suntikan vaksin bagi kumpulan berisiko lebih tinggi, golongan mudah terdedah kepada COVID-19

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 05 Sep 2020 09:28AM Dikemas Kini : 05 Sep 2020 09:30AM

SINGAPURA: Sebaik sahaja vaksin bagi COVID-19 tersedia, pendekatan Singapura adalah untuk melindungi kumpulan berisiko lebih tinggi atau individu yang mungkin lebih mudah terdedah kepada jangkitan itu, kata Menteri Kesihatan Gan Kim Yong pada Jumaat (4 Sep).

Beliau memberikan respons itu kepada soalan yang diajukan oleh Anggota Parlimen (AP) Murali Pillai tentang strategi Pemerintah bagi memberikan vaksin kepada rakyat Singapura dan penduduknya. AP Ang Wei Neng juga bertanya apakah rancangan vaksin COVID-19 Singapura.

Dalam jawapan bertulisnya, Encik Gan berkata: "Pendekatan vaksinasi kami bermatlamat untuk melindungi individu yang lebih mudah terjejas atau berisiko lebih tinggi terhadap penyakit itu serta mereka yang mungkin lebih terdedah kepada jangkitan sambil memperluaskan secara bertahap-tahap perlindungan vaksinasi kepada penduduk kita."

Encik Gan menarik perhatian bahawa strategi dan jadual vaksinasi bergantung kepada beberapa faktor termasuk kesesuaian vaksin berbeza bagi kumpulan berlainan di samping jumlah vaksin yang sedia ada.

"Kami akan terus menyesuaikan strategi vaksinasi kami sedang lebih banyak maklumat daripada sampel-sampel vaksin disediakan," tambah beliau.

Pemerintah sedang "memantau rapi" kemajuan sejagat dalam usaha menghasilkan vaksin-vaksin COVID-19, kata Encik Gan. Beliau menambah pihak-pihak berkuasa sedang mengambil "langkah-langkah aktif" untuk memastikan Singapura mempunyai akses tepat pada masanya" kepada vaksin yang mujarab dan selamat.

Singapura sedang dalam perbincangan bersama beberapa syarikat farmaseutikal yang sedang menghasilkan vaksin. Ia juga "mengambil bahagian secara aktif" dalam perbincangan antarabangsa untuk "mempercepatkan penghasilan dan memastikan akses yang adil serta saksama" kepada vaksin-vaksin COVID-19, tambah menteri itu.

Ini termasuk Kemudahan Akses Sejagat Vaksin (COVAX), sebuah kerjasama berbilang hala antara Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Perikatan Global untuk Vaksin dan Imunisasi, Gabungan untuk Inovasi Kesediaan Wabak dengan berpuluh-puluh negara lain.

Ini akan membolehkan negara-negara untuk menyatukan risiko dan sumber bagi mendapatkan akses kepada portfolio vaksin daripada pencipta vaksin yang berbeza, kata Encik Gan.

Menteri itu menambah Pemerintah juga sedang menyokong usaha tempatan untuk membangunkan vaksin COVID-19. Sekolah Perubatan Duke-NUS sedang bekerjasama dengan syarikat bioteknologi Amerika Syarikat, Arcturus Therapeutics, untuk menghasilkan vaksin mRNA.

Ujian klinikal manusia Fasa 1 bagi calon vaksin itu sudahpun bermula pada awal Ogos.

Selain ujian seumpama itu, Singapura sedang membina keupayaan pengilangan vaksinnya bagi menyediakan kontrak khidmat pengilangan “isikan dan selesaikan” kepada para pencipta vaksin dan menggandakan pengeluaran vaksin apabila ia tersedia kelak, kata Encik Gan.  


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan