Skip to main content

Iklan

Iklan

S'pura tarik balik sekatan terhadap pelawat Jerman, Brunei lengkap divaksin & semua dari Hong Kong, Macau

Sedang Singapura melaksanakan rancangan untuk membuka ekonominya dan hidup dengan COVID-19 yang endemik, pelawat lengkap divaksin dari Jerman dan Brunei serta dari Hong Kong dan Macau - tidak kira status vaksinasi mereka - tidak lagi perlu menjalani Notis Jangan Keluar Rumah setiba mereka di sini.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 19 Aug 2021 10:36PM Dikemas Kini : 20 Aug 2021 12:10AM

SINGAPURA: Sedang Singapura melaksanakan rancangan untuk membuka ekonominya dan hidup dengan COVID-19 yang endemik, pelawat lengkap divaksin dari Jerman dan Brunei serta dari Hong Kong dan Macau - tidak kira status vaksinasi mereka - tidak lagi perlu menjalani Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) setiba mereka di sini.

Ini diumumkan oleh Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) pada Khamis (19 Ogos).

Memandangkan Jerman sudahpun membenarkan pelawat dari Singapura untuk memasuki negara itu tanpa kuarantin, langkah ini bermakna pelawat lengkap divaksin boleh melakukan perjalanan antara kedua-dua negara tanpa menjalani sebarang kuarantin atau SHN.

Pelawat jangka pendek dari Hong Kong dan Macau, tidak kira status vaksinasi mereka, kini boleh memohon Pas Perjalanan Udara untuk memasuki Singapura dari 26 Ogos.

Mereka harus berada di salah satu negara itu bagi tempoh sekurang-kurangnya 21 hari berturut-turut sebelum berangkat ke Singapura dan menjalani ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR) sebaik sahaja tiba di lapangan terbang.

Mereka akan dibenarkan untuk menjalani kegiatan di Singapura sekiranya hasil ujian PCR mereka negatif dan mereka tidak diperlukan menjalani SHN.

Mulai 21 Ogos, rakyat Singapura, Penduduk Tetap (PR) dan pemegang pas jangka panjang yang meluangkan masa 21 hari berturut-turut di Hong Kong atau Macau dan kembali ke Singapura juga akan menjalani ujian PCR sebaik tiba di sini.

Jika hasil ujian negatif, mereka dibenarkan untuk menjalani kegiatan mereka di sini. Ini sebagai ganti kepada SHN.

Mulai 8 September, pelawat divaksin dari Brunei dan Jerman juga boleh memasuki Singapura tanpa perlu menjalani SHN di bawah aturan Laluan Perjalanan Divaksin (VTL) yang baru.

Sebagai ganti kerana tidak menjalani SHN, para pelawat ini perlu menjalani sekurang-kurangnya empat ujian PCR:

- Ujian sebelum berangkat dalam tempoh 48 jam sebelum jadual penerbangan mereka

- Apabila mereka tiba di Lapangan Terbang Changi

- Pada hari ketiga penginapan mereka di Singapura, dilakukan di sebuah klinik khas

- Pada hari ketujuh penginapan mereka di Singapura

Individu akan dianggap lengkap divaksin dua minggu selepas dia menerima kedua-dua dos vaksin Pfizer-BioNTech atau Comirnaty dan Moderna serta vaksin-vaksin lain yang diiktiraf Senarai Kegunaan Darurat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), termasuk yang dihasilkan oleh Sinovac dan Sinopharm. 

Secara berasingan, Kementerian Kesihatan (MOH) menyatakan pelawat dari Jerman dan Brunei yang tidak memanfaatkan aturan VTL akan dikehendaki menjalani SHN selama tujuh hari apabila mereka sampai di Singapura mulai 21 Ogos.

SHN boleh dijalani di tempat penginapan pilihan mereka. Rakyat Singapura, Penduduk Tetap (PR) dan pemegang pas jangka panjang boleh menjalani SHN di tempat kediaman mereka, jika keadaannya sesuai.

PAS PERJALANAN UDARA

Buat masa ini, hanya pelawat dari Brunei dan China (kecuali wilayah Jiangsu), New Zealand dan Taiwan boleh memohon Pas Perjalanan Udara untuk memasuki Singapura.

Hong Kong dan Macau akan ditambah ke dalam senarai tersebut.

Pas yang sama bagi pelawat dari Australia dan Vietnam sudahpun digantung.

LALUAN PERJALANAN DIVAKSIN (VTL)

Pelawat sudah divaksin dari Brunei dan Jerman yang memasuki Singapura dari 8 September tidak akan berdepan dengan sekatan atas tujuan melakukan perjalanan ke sini dan mereka tidak dikehendaki mengikut atur cara yang dikawal atau perlu mendapatkan penaja.

Namun, mereka mesti berada di salah satu negara itu buat sekurang-kurangnya 21 hari sebelum berangkat ke Singapura. Selain itu, mereka juga mesti melakukan perjalanan ke Singapura menaiki penerbangan yang dikhususkan hanya buat pelawat sudah divaksin, tanpa membuat persinggahan di mana-mana.

Kedua-dua pelawat jangka pendek dan jangka panjang mesti memohon Pas Perjalanan Divaksin dari 1 September sekiranya mereka mahu memasuki Singapura mulai 8 September.

Pelawat jangka pendek yang memerlukan visa untuk membuat perjalanan ke Singapura mesti memperolehi visa yang berasingan juga. CAAS menasihatkan mereka supaya memohon visa itu hanya selepas Pas Perjalanan Divaksin mereka diluluskan dan sebelum mereka berlepas ke Singapura.

Semua pelawat perlu membuat bayaran awal bagi ujian PCR mereka yang akan diambil pada hari ketiga dan ketujuh selepas tiba di Singapura.

Status vaksinasi mereka juga akan diperiksa sebaik sahaja mereka sampai di Singapura.

Semua pelawat juga mesti membeli insurans perjalanan dengan perlindungan minimum S$30,000 bagi rawatan perubatan berkaitan COVID-19 dan kos masuk hospital sebelum melakukan perjalanan ke Singapura.

Mereka juga mesti memuat turun aplikasi TraceTogether untuk memudahkan pengesanan kontak.

Bagi rakyat dan Penduduk Tetap Singapura (PR) lengkap divaksin yang pulang dari Brunei serta Jerman, mereka tidak perlu memohon Pas Perjalanan Divaksin. Ini tidak kira sama ada mereka sudahpun divaksin di Singapura atau di luar negara.

Bagi mereka yang divaksin di Singapura, mereka boleh menunjukkan status vaksinasi mereka melalui aplikasi HealthHub kepada syarikat penerbangan semasa mendaftar masuk sebelum berlepas ke Singapura.

Bagi rakyat dan Penduduk Tetap Singapura (PR) yang tidak divaksin di sini pula, mereka boleh menunjukkan bukti vaksinasi mereka diambil di negara mereka melakukan keberangkatan kepada syarikat penerbangan semasa mendaftar masuk dan kepada pihak berkuasa imigresen Singapura setiba mereka di Lapangan Terbang Changi.

Rakyat dan Penduduk Tetap Singapura (PR) yang melakukan perjalanan ke sini juga mesti menamatkan kesemua empat ujian PCR yang ditetapkan.

Mana-mana pelawat yang gagal untuk menamatkan rejimen ujian itu mungkin dikenakan SHN dan dikuarantin di kemudahan yang dikhususkan.

Kumpulan-kumpulan dengan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun yang membuat perjalanan bersama mereka tidak boleh menyertai aturan VTL, kata Menteri Pengangkutan S Iswaran semasa taklimat media dengan pasukan bertindak COVID-19 pemerintah pada Khamis.

Ini kerana kanak-kanak bawah usia 12 tahun masih belum dibenarkan untuk mendapatkan vaksinasi.

Bagaimanapun, keluarga dengan anak-anak kecil boleh melakukan perjalanan menaiki penerbangan lain dari Jerman dan memohon untuk menjalani SHN di rumah atau di tempat penginapan pilihan mereka, ujarnya.

Apabila ditanya bagaimana pihak berkuasa memastikan pelawat dari Jerman kekal di negara itu selama 21 hari berturut-turut memandangkan tiada kawalan sempadan di Kesatuan Eropah (EU), Encik Iswaran berkata pelawat mesti membuat pengisytiharan sendiri bahawa mereka sudah meluangkan masa 21 hari yang lalu di Jerman apabila memohon pas perjalanan itu.

“Jika mereka didapati membuat perisytiharan palsu, maka tindakan akan diambil terhadap mereka," katanya.

Misalnya, Akta Penyakit Berjangkit mempunyai peruntukan bagi perisytiharan palsu.

Bagaimanapun, Encik Iswaran menggesa semua orang supaya memainkan peranan mereka dan tidak memandang syarat-syarat ini sebagai sesuatu yang boleh dipermainkan.

Ini agar pihak berkuasa boleh mengetahui sama ada aturan ini berkesan dan bagaimana untuk mengurangkan sebarang risiko yang mungkin timbul daripada perjalanan rentas sempadan.

Penyertaan yang bertanggungjawab akan memberikan peluang lebih baik bagi skim itu untuk berjalan dengan berkesan dan dipertingkatkan, ujarnya.  

Sumber : Today/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan