Skip to main content

Iklan

Iklan

S'pura sedang pantau jumlah kes COVID-19 di ICU; 1-2 minggu mendatang 'genting'

Pihak-pihak berkuasa sedang memantau dengan teliti jumlah kes COVID-19 di unit jagaan rapi (ICU) bagi memastikan sistem jagaan kesihatan Singapura tidak terbeban, kata Menteri Kewangan Lawrence Wong pada Ahad (19 Sep). 

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura sedang pantau jumlah kes COVID-19 di ICU; 1-2 minggu mendatang 'genting'

Jabatan A&E di Hospital Tan Tock Seng Singapura. (Gambar: TTSH/Facebook)

Diterbitkan : 19 Sep 2021 11:24PM Dikemas Kini : 19 Sep 2021 11:25PM

SINGAPURA: Pihak-pihak berkuasa sedang memantau dengan teliti jumlah kes COVID-19 di unit jagaan rapi (ICU) bagi memastikan sistem jagaan kesihatan Singapura tidak terbeban, kata Menteri Kewangan Lawrence Wong pada Ahad (19 Sep).

Kini terdapat 14 pesakit di ICU tetapi bilangan ini boleh berubah dengan sangat pantas", kata Encik Wong dalam satu catatan Facebook.

“Satu hingga dua minggu mendatang akan menjadi genting sedang kita memantau kadar jangkitan serta keadaan keseluruhan hospital/ICU kita," ujarnya, yang juga pengerusi bersama jawatankuasa bertindak berbilang kementerian (MTF).

VAKSIN TIDAK BERI PERLINDUNGAN 100%

"Beberapa (orang) memberitahu saya berdasarkan perlindungan vaksin tinggi kita dan perangkaan ICU semasa seramai 14 pesakit, kita tidak perlu risau," katanya.

Bagaimanapun, beliau menambah Singapura "tidak mampu berpeluk tubuh" kerana jumlah kes di ICU boleh berubah "dengan sekelip mata".

Vaksin COVID-19 menawarkan perlindungan terhadap sakit teruk tetapi Encik Wong menarik perhatian "kita juga tahu bahawa perlindungan itu bukan 100 peratus".

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan (MOH), sekitar 0.2 peratus individu yang dijangkiti COVID-19 berisiko memerlukan jagaan ICU.

Ia mungkin nampak seperti bilangan yang kecil tetapi ia boleh meningkat dengan amat pantas "apabila jumlah asas individu yang terjangkit adalah besar dan meningkat dengan mendadak," jelas Encik Wong.

Beliau juga menerangkan perangkaan itu - 0.2 peratus - jjuga boleh berubah dari semasa ke semasa sekiranya ada lebih ramai warga emas atau individu belum divaksin yang terjangkit kerana kumpulan itu lebih cenderung sakit teruk.

Tempoh waktu seseorang berada di ICU - yang boleh mengambil tempoh lebih dua minggu - juga mungkin meningkatkan jumlah tersebut.

“Ini sebabnya mengapa kita tidak boleh beranggapan bahawa perangkaan ICU akan terus kekal rendah atau tampungan ICU kita tidak akan pernah diuji."

Beliau turut menggesa masyarakat, terutama warga emas atau mereka yang tinggal serumah dengan warga emas supaya mengurangkan kegiatan sosial tidak penting.

"Periksa diri anda secara berkala untuk memastikan anda bebas daripada virus itu dan jangan sebarkannya kepada orang lain di sekeliling anda," tambah beliau.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan