Skip to main content

Iklan

Iklan

S'pura pertimbang suntikan dos ketiga guna vaksin bukan mRNA

Singapura sedang mengkaji kemungkinan memberikan vaksin-vaksin bukan mRNA sebagai suntikan dos ketiga dan sedang berunding dengan para pembekal untuk memperolehi bebuli, dedah Menteri Negara Kanan Kesihatan Janil Puthucheary di Parlimen pada Selasa (14 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 14 Sep 2021 04:51PM Dikemas Kini : 14 Sep 2021 10:00PM

SINGAPURA: Singapura sedang mengkaji kemungkinan memberikan vaksin-vaksin bukan mRNA sebagai suntikan dos ketiga dan sedang berunding dengan para pembekal untuk memperolehi bebuli, dedah Menteri Negara Kanan Kesihatan Janil Puthucheary di Parlimen pada Selasa (14 Sep).

Jawatankuasa Pakar Kementerian Kesihatan (MOH) mengenai vaksinasi COVID-19 "sedang giat mengkaji strategi heterologi melibatkan vaksin bukan mRNA," menurut Dr Puthucheary sambil menambah bahawa kementeriannya akan terus memantau data global dan tempatan - khususnya tentang risiko tindak balas teruk - sebelum mengesyorkan suntikan dos ketiga untuk kumpulan-kumpulan penduduk tambahan.

Buat masa ini, jawatankuasa tersebut menyarankan warga emas yang berusia 60 tahun ke atas mendapatkan suntikan dos ketiga antara enam hingga sembilan bulan selepas suntikan kedua. Sementara itu, mereka dengan sistem imun yang lemah disarankan supaya mendapatkan suntikan dos ketiga dua bulan selepas mendapatkan dos kedua.

"Kami sedang berunding bersama dengan para pembekal untuk menawarkan suntikan dos ketiga vaksin bukan mRNA dan sebilangan daripada mereka sedang menyiapkan permohonan mereka bagi PSAR (Laluan Akses Khas Pandemik)," kata Dr Puthucheary.

Singapura juga sudah memeterai perjanjian dengan syarikat bioteknologi Amerika Syarikat, Novavax untuk membeli vaksin berasaskan protein, dengan bekalan-bekalan dijangka tiba sebelum hujung tahun ini.

VAKSINASI BUKAN SATU-SATUNYA IKHTIAR

Namun begitu, Dr Putchucheary menekankan bahawa vaksinasi bukan satu-satunya faktor dalam perjalanan Singapura menuju ke fasa endemik dengan jumlah kes, kadar penularan, pematuhan kepada langkah-langkah pengurusan selamat dan status rejim ujian juga sangat penting.

Dengan jumlah kes jangkitan COVID-19 terus meningkat di sini, Dr Puthucheary berkata bahawa pemerintah memutuskan untuk menggantung pelan peralihan buat sementara waktu.

Sungguhpun demikian, beliau akur betapa pentingnya untuk membuka semula kegiatan sosial dan ekonomi untuk mengelakkan risiko "merosakkan kemampuan kita untuk mencari nafkah dan menyara kehidupan buat selama-lamanya".

"Tetapi kita harus melakukannya dengan selamat. Ini bermakna mengurangkan jumlah mereka yang sakit teruk ke paras minimum. Untuk mencapainya, vaksinasi terus menjadi kunci dalam usaha kita melawan COVID-19," tekan beliau.

MEWAJIBKAN VAKSINASI?

Menjawab pertanyaan Anggota Parlimen Alex Yam (PAP-Marsiling–Yew Tee) mengenai sama ada pemerintah akan menimbangkan langkah untuk mewajibkan vaksinasi dan suntikan dos ketiga, Dr Puthucheary berkata: "Kami akan mengkaji perkara itu apabila ia timbul kelak".

"Tentang sama ada untuk mewajibkan vaksinasi, Saya rasa pertama kita perlu menunggu proses itu, sekiranya ia berlaku. Kita juga perlu melihat konteks kita," terang beliau.

BOLEHKAH KADAR VAKSINASI S'PURA DIPERCEPATKAN?

AP Jamus Lim (WP-Sengkang) bertanya mengapa pemerintah tidak boleh mempercepatkan lagi pemberian vaksin pada tiga bulan pertama tahun ini memandangkan pemerintah sudah membuat perjanjian awal dengan para pengeluar vaksin.

Dr Puthucheary menjelaskan bahawa kepantasan pemberian vaksin di Singapura pada awalnya terhambat oleh bekalan dari pengeluar yang "menghadapi tekanan" untuk menghasilkan sebanyak mungkin vaksin bagi seluruh dunia.

SUBSIDI BAGI MEREKA YANG TIDAK BOLEH DIVAKSIN

Ketua Pembangkang Pritam Singh (WP-Aljunied) bertanya jika para anggota masyarakat yang tidak boleh divaksin atas sebab perubatan boleh mendapatkan subsidi bagi kit-kit ujian pantas antigen (ART) tambahan.

Dalam responsnya, Dr Puthucheary turut mendedahkan bahawa mereka yang tidak boleh divaksin atas sebab perubatan hanya "segelintir" saja dan bilangannya "bukan muktamad".

"Ada yang masih dinilai. Misalnya, anda sedang menantikan rawatan kemoterapi anda untuk diselesaikan atau sedang beransur pulih daripada pembedahan dan sebagainya. Oleh itu, ia bukan bilangan muktamad. Kami akan terus memantaunya dengan teliti," tegas beliau.

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan