Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura perlu sedia berdepan 'peningkatan ketara' kes COVID-19, kata Gan Kim Yong

Singapura "harus bersedia berdepan dengan peningkatan ketara" jumlah kes baru COVID-19 pada masa akan datang, kata Menteri Kesihatan Gan Kim Yong pada Khamis (5 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura perlu sedia berdepan 'peningkatan ketara' kes COVID-19, kata Gan Kim Yong

(Gambar: Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 05 Mar 2020 04:55PM Dikemas Kini : 05 Mar 2020 05:04PM

SINGAPURA: Singapura "harus bersedia berdepan dengan peningkatan ketara" jumlah kes baru COVID-19 pada masa akan datang, kata Menteri Kesihatan Gan Kim Yong pada Khamis (5 Mac).

"Di peringkat global, jumlah kes di luar tanah besar China terus meningkat pada kadar yang membimbangkan merentasi benua dan wilayah. Ini membimbangkan kerana ia menimbulkan risiko tinggi kes import ke Singapura," kata Encik Gan di Parlimen semasa perbahasan Jawatankuasa Peruntukan bagi Kementerian Kesihatan (MOH).

"Lantaran itu, kita harus bersedia melihat jumlah kes baru yang lebih tinggi pada masa-masa akan datang."

Dua kes baru COVID-19 disahkan pada Rabu, menjadikan jumlah kes jangkitan virus itu di Singapura kepada 112. Daripada jumlah ini, 79 sudah dibenarkan pulang dari hospital manakala 33 lagi masih berada di hospital.

PENDEKATAN MENYELURUH PEMERINTAH

Menjawab soalan mengenai keberkesanan strategi Singapura sekarang ini, Encik Gan berkata: "Kita perlu akur bahawa setiap penularan itu berbeza.

"COVID-19 tidak sama dengan SARS, dan berbeza daripada H1N1. Walaupun kita melakukan yang terbaik untuk belajar daripada setiap wabak dan bersedia berdepan dengan penularan seterusnya, kita harus bersedia untuk menghadapi keadaan luar jangkaan."

Singapura harus mengambil pendekatan Seluruh Pemerintah dan mengerahkan sumber semua agensi relevan untuk melaksanakan respons yang pantas dan berkesan, kata Encik Gan.

"Ini akan membolehkan kita menilai, membuat keputusan dan melaksanakan tindak balas dengan cepat. Amat penting juga untuk bersifat telus dan berkongsi maklumat yang kami tahu secepat mungkin, "katanya.

"Ini akan membantu mengekalkan kepercayaan antara penduduk dengan pemerintah agar kita dapat sokongan orang ramai sedang kita bekerjasama untuk melawan COVID-19."

Encik Gan juga berkata adalah "penting untuk mengatasi dan memberi respons tegas terhadap berita palsu", untuk mengelakkan pembaziran sumber dan mencegah gangguan terhadap usaha menangani penularan virus tersebut.

TIDAK BOLEH PENCILKAN DIRI DARI DUNIA

Masyarakat saintifik antarabangsa sedang mengkaji virus itu, berkongsi penemuan baru dan membangunkan huraian, kata Encik Gan, sambil menambah bahawa Singapura juga berkongsi amalan terbaik, hasil penyelidikan dan pengetahuan mengenai COVID-19 bersama negara-negara lain.

Encik Gan bagaimanapun berkata ia "mungkin mengambil sedikit masa" sebelum rawatan berkesan dan vaksin boleh dihasilkan.

"Sedang situasi global terus berkembang, banyak negara mungkin akan melaporkan jangkitan. Ia akan menjadi semakin sukar untuk menghalang virus ini daripada membolosi sempadan kita kerana kita tidak boleh menyekat pelawat dari setiap negara dan memencilkan negara kita dari seluruh dunia," katanya.

"Malah di kalangan jiran-jiran terdekat kita, keadaan sedang terus berkembang. Lantaran itu, kemungkinan penyakit ini akan kekal untuk jangka masa yang lama dan kita akan terus menyesuaikan, menyelaraskan langkah-langkah untuk menangani penyakit ini supaya kehidupan dapat diteruskan sambil mengambil langkah-langkah waspada yang sewajarnya . "

PEGAWAI KANAN DERMA BONUS KHAS BAGI KAKITANGAN KESIHATAN

Encik Gan mengucapkan terima kasih kepada para pekerja penjagaan kesihatan atas sumbangan dan dedikasi mereka, sambil menekankan bahawa mereka cukup terlatih dalam kawalan dan pencegahan jangkitan, serta dilengkapi dengan peralatan perlindungan peribadi (PPE) yang sewajarnya untuk keselamatan mereka.

"Kakitangan pengurusan kanan tiga kelompok penjagaan kesihatan telah memaklumkan kepada kami bahawa sebagai tanda perpaduan dengan pekerja penjagaan kesihatan, mereka akan mendermakan Bonus Khas mereka kepada dana kebajikan kakitangan kelompok masing-masing," kata Encik Gan.

"Butiran bonus khas itu akan diumumkan kelak, namun buat masa ini tumpuan kami adalah untuk meneruskan perjuangan kami untuk membendung penularan COVID-19."

Encik Gan merujuk kepada bonus khas bagi pekerja penjagaan kesihatan barisan hadapan yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat semasa Belanjawan 2020.

LAPORAN BERKAITAN:


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan