Skip to main content

Iklan

Iklan

S'pura lapor dua kematian pertama akibat COVID-19

Dua kematian pertama akibat jangkitan virus korona COVID-19 dilaporkan di Singapura pada Sabtu (21 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dua kematian pertama akibat jangkitan virus korona COVID-19 dilaporkan di Singapura pada Sabtu (21 Mac).

Kementerian Kesihatan (MOH) mengesahkan bahawa dua pesakit meninggal dunia pagi tadi (21 Mac) akibat komplikasi berkaitan jangkitan COVID-19.

Kematian pertama melibatkan seorang wanita rakyat tempatan berusia 75 tahun. Beliau dimasukkan ke Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) pada 23 Februari kerana mengalami radang paru-paru, menurut MOH.

Wanita itu tidak mempunyai sejarah perjalanan ke China dan jangkitannya dikaitkan dengan kelompok The Life Church and Missions.

Wanita yang menetap di Bishan Street itu pertama kali menunjukkan simptom-simptom pada 9 Februari dan terus berjumpa doktor di sebuah klinik pada hari yang sama.

Beliau berjumpa doktor di klinik yang sama pada 17 dan 23 Februari dan dibawa ke Hospital Tan Tock Seng (TTSH).

Wanita itu disahkan dijangkiti COVID-19 pada hari yang sama dan kemudian dirawat di Unit Jagaan Rapi (ICU).

Beliau bagaimanapun mengalami komplikasi yang serius dan meninggal dunia pada 7.52 pagi tadi (21 Mac) akibat jangkitan itu setelah menerima rawatan di ICU selama 26 hari.

MOH menyatakan wanita itu mempunyai sejarah menghidap penyakit jantung dan darah tinggi.

Pesakit kedua pula adalah seorang lelaki warga Indonesia berusia 64 tahun. Lelaki itu tiba di Singapura pada 13 Mac dan dimasukkan ke ICU di NCID dalam keadaan kritikal pada hari yang sama, menurut MOH.

Beliau disahkan dijangkiti COVID-19 pada 14 Mac.

Pesakit itu menerima rawatan di ICU sejak 13 Mac. Namun, beliau mengalami komplikasi serius dan meninggal dunia pada pukul 10.15 pagi tadi (21 Mac) setelah menerima rawatan selama sembilan hari.

Sebelum tiba di Singapura, beliau dimasukkan ke sebuah hospital di Indonesia kerana mengalami radang paru-paru. Lelaki itu mempunyai sejarah menghidap penyakit jantung, menurut MOH lagi.

Menteri Kesihatan Gan Kim Yong melahirkan rasa sedih atas pemergian kedua-dua pesakit itu.

"Ingatan kami bersama keluarga mereka dalam masa-masa mencabar ini. Kami akan menghulurkan bantuan yang sewajarnya kepada keluarga mereka," katanya.

Encik Gan berkata beliau memahami rakyat Singapura akan terjejas dengan berita itu, namun beliau menggesa semua orang supaya bersikap tabah dan memainkan peranan masing-masing untuk memerangi virus itu.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

Sumber : BERITA Mediacorp/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan