Virus Korona

Images
  • covid (6)
    (Gambar: Try Sutrisno Foo)

S'pura lapor 7 kes baru COVID-19; 2 kes dalam masyarakat, 5 kes import

SINGAPURA: Singapura melaporkan tujuh kes baru COVID-19 setakat tengah hari Ahad (18 Okt), sekali gus menjadikan jumlah terkumpul di negara ini sebanyak 57,911.

Daripada kes-kes baru itu, satu kes adalah jangkitan dalam masyarakat manakala satu kes lagi melibatkan penghuni dormitori, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

Terdapat lima kes import, kesemua mereka dikenakan notis Jangan Keluar Rumah (SHN) sebaik sahaja tiba di Singapura.

PELAJAR DARI GUATEMALA ANTARA KES IMPORT

Daripada lima kes import yang dilaporkan hari ini, empat kini bekerja di Singapura. Dua kes adalah pemegang pas kerja, seorang wanita berusia 40 tahun dan seorang wanita berusia 27 tahun yang pulang dari Filipina dan tidak menunjukkan gejala.

Dua lagi kes adalah pemegang pas kerja yang tiba dari Greece dan Perancis. Lelaki warga Greece berusia 32 tahun itu tidak menunjukkan sebarang gejala manakala lelaki warga Perancis berusia 48 tahun menunjukkan simptom pada 7 Okt.

Baki kes import melibatkan seorang remaja lelaki warga Guatemala, berusia 17 tahun yang merupakan pemegang pas pelajar.

SATU-SATUNYA KES DALAM MASYARAKAT TIDAK TERKAIT

Satu-satunya kes dalam masyarakat melibatkan seorang teknisyen warga Bangladesh, berusia 40 tahun, yang tidak mempunyai kaitan dengan sebarang kes sebelumnya. Dia dikesan setelah didiagnos menghidap jangkitan pernafasan akut (ARI) ketika pertama kali berjumpa doktor.

Bagaimanapun, ujian seroloji yang dijalaninya ialah positif, sekali gus menunjukkan ia sudah melepasi tempoh berjangkit.

SATU-SATUNYA KES DI DORMITORI

Satu-satunya kes di dormitori dikesan melalui Ujian Rutin Berjadual setiap dua minggu oleh MOH bagi pekerja yang tinggal di dormitori.

"(Ujian rutin berjadual) membolehkan kami untuk mengesan kes-kes lebih awal, termasuk kes tanpa simptom, supaya kami dapat mengasingkan mereka dengan segera bagi mencegah berlaku jangkitan lanjut, dengan membendung, menjejak dan mengasingkan kontak-kontak dekat secara agresif," tambah MOH.

Secara keseluruhan, jumlah kes baru dalam masyarakat kekal stabil pada purata kurang satu kes setiap hari sepanjang dua minggu lalu. Jumlah kes tanpa hubung kait dalam masyarakat juga merosot dari purata kurang daripada satu kes setiap hari pada minggu sebelumnya kepada tiada kes pada minggu lalu.

"Kami akan terus memantau jumlah ini dengan teliti, serta kes-kes yang dikesan menerusi program pemantauan kami," menurut MOH.

Daripada kes-kes baru itu, 71 peratus adalah kes import atau dikaitkan dengan kes/kelompok yang sudah dikenal pasti manakala yang lain masih menunggu pengesanan kontak.

KADAR PEMULIHAN

9 lagi kes dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat, menjadikan jumlah kes yang pulih sebanyak 57,807, menurut MOH.

40 kes masih dirawat di hospital. Sebahagian besar berada dalam keadaan stabil atau beransur pulih, dan tiada yang dirawat dalam unit jagaan rapi.

Sebanyak 36 kes diasingkan dan dijaga di kemudahan masyarakat. Secara keseluruhannya, 28 orang meninggal dunia setelah mengalami komplikasi akibat jangkitan COVID-19. 

- BERITAmediacorp/na

Top