Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura lapor 407 jangkitan baru COVID-19; 1 kes import libatkan warga Bangladesh yang dapatkan rawatan perubatan tidak terkait virus korona

Sebanyak 407 kes baru COVID-19 dilaporkan di Singapura setakat tengah hari Ahad (14 Jun) sekali gus membawa jumlah kes virus korona di negara ini kepada 40,604.

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura lapor 407 jangkitan baru COVID-19; 1 kes import libatkan warga Bangladesh yang dapatkan rawatan perubatan tidak terkait virus korona

(Gambar: Ili Mansor/TODAY)

Diterbitkan : 14 Jun 2020 11:51PM Dikemas Kini : 14 Jun 2020 11:53PM

SINGAPURA: Sebanyak 407 kes baru COVID-19 dilaporkan di Singapura setakat tengah hari Ahad (14 Jun) sekali gus membawa jumlah kes virus korona di negara ini kepada 40,604.

Kes baru itu termasuk sembilan dalam masyarakat - empat adalah rakyat atau Penduduk Tetap (PR) Singapura dan lima pula melibatkan pemegang pas kerja.

Satu kes import dicatatkan melibatkan seorang warga Bangladesh yang tiba di Singapura pada 10 Jun untuk mendapatkan rawatan perubatan yang tiada kaitan dengan COVID-19.

"Perisytiharan kesihatan yang beliau serahkan sebelum pelepasan imigresen menunjukkannyatidak mempunyai sebarang gejala COVID-19, tidak didiagnos mahupun disyaki mempunyai jangkitan COVID-19," menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kemas kininya pada lewat malam Ahad.

"Beliau kemudian menjalani ujian COVID-19 setelah tiba di Singapura dan keputusan positif diketahui pada 13 Jun. Pengesanan kontak sedang dijalankan dan kontak rapat yang dikenal pasti sudahpun diletakkan di bawah kuarantin."

Baki 397 kes baru itu adalah pemegang permit kerja yang tinggal di dormitori.

MOH menyatakan 781 lagi kes dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan awam. Ini membawa jumlah pesakit yang sudah sembuh di Singapura kepada 29,589.

Masih terdapat 238 kes disahkan positif di hospital dengan kebanyakannya dalam keadaan stabil atau beransur pulih. Dua pesakit dalam keadaan kritikal kini di dalam unit jagaan rapi (ICU).

Sementara itu, terdapat 10,751 kes yang dirawat di kemudahan jagaan masyarakat. Kes-kes ini melibatkan pesakit yang mengalami simptom ringan atau sihat secara klinikal tetapi masih diuji positif virus korona itu.

Tiada kelompok baru dilaporkan, menurut MOH.

KES-KES SEBELUM INI

Pada Ahad (14 Jun), Kementerian Pendidikan (MOE) menyatakan kesemua 47 pelajar Sekolah Menengah St Anthony's Canossian, yang berhubungan rapat dengan
seorang pelajar menengah 4 disahkan positif COVID-19, diuji negatif.

Pelajar berkenaan dilaporkan sebagai kes baru positif COVID-19 pada Sabtu.

12 kakitangan yang berhubungan rapat dengannya diletakkan di bawah Cuti Ketidakhadiran (LOA) atau kuarantin di rumah. Hanya mereka yang diletakkan di bawah kuarantin diuji bagi COVID-19. Keputusan mereka masih belum disahkan.

Pada Sabtu, MOH melaporkan seorang lelaki Singapura berusia 73 tahun yang terkait dengan kelompok SAFRA Jurong meninggal dunia daripada komplikasi akibat COVID-19 pada Jumaat.

Beliau mempunyai sejarah menghidap tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi dan penyakit buah pinggang kronik serta diuji positif COVID-19 pada 9 Mac. Lelaki itu dimasukkan ke dalam wad di Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID).

Beliau adalah individu ke-26 yang meninggal dunia di Singapura akibat virus korona.  


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan