Virus Korona

Images
  • covid (3)
    (Gambar: Jeremy Long)

S'pura lapor 278 kes baru COVID-19, 4 jangkitan dalam masyarakat dikaitkan dengan Hab Pengangkutan Bersepadu Bukit Panjang

SINGAPURA: Singapura melaporkan 278 kes baru COVID-19 setakat tengah hari Khamis (30 Jul) dengan empat jangkitan dalam masyarakat, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 di Singapura sebanyak 51,809 kes.

Tiga daripada kes jangkitan dalam masyarakat, adalah pemegang permit kerja dari Malaysia manakala seorang lagi adalah rakyat Singapura. Semuanya terkait dengan kelompok di Hab Pengangkutan Bersepadu Bukit Panjang, yang kini mempunyai lapan kes disahkan.

Mereka semua tidak menunjukkan gejala dan dikesan sebagai sebahagian daripada langkah MOH mengesan individu yang bekerja di "kelompok tempat kerja yang baru disahkan", menurut kementerian itu.

Bagi mengesahkan sama ada kes-kes itu adalah jangkitan baru atau lama, mereka juga menjalani ujian serologi, menurut MOH. Hasil keputusan bagi semua kes masyarakat itu didapati positif, menunjukkan kemungkinannya ia adalah jangkitan lama.

Sebagai langkah pencegahan, kementerian itu menyatakan bahawa ia sedang bekerjasama dengan Penguasa Pengangkutan Darat untuk membuat aturan bagi kenalan rapat kes itu untuk menjalani ujian. Siasatan epidemiologi sedang dijalankan.

Secara keseluruhan, jumlah kes baru dalam masyarakat sudah merosot, daripada purata sembilan kes sehari pada minggu sebelumnya, kepada purata tiga kes setiap hari pada minggu lalu.

Jumlah kes dalam masyarakat yang tiada kaitan juga merosot, kepada purata satu kes sehari pada minggu lalu berbanding purata lima kes setiap hari pada minggu sebelumnya.

KES IMPORT PULANG DARI INDIA, INDONESIA

Terdapat empat kes import baru yang dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah sebaik sahaja mereka tiba di Singapura.

Tiga kes import itu adalah pemegang pas kerja yang kini bekerja di Singapura. Mereka pulang dari India antara 15 Jul dengan 18 Jul. Dua kes tidak menunjukkan gejala manakala kes yang satu lagi mengalami simptom awal pada 20 Jul.

Baki kes adalah pemegang permit kerja, yang pulang dari Indonesia pada 18 Jul. Wanita itu juga tidak menunjukkan gejala.

Kes baru lain yang dilaporkan pada Khamis adalah pemegang permit kerja yang tinggal di dormitori pekerja asing. Tiada kelompok baru dilaporkan.

Beberapa lokasi baru juga ditambah dalam senarai tempat yang dikunjungi kes COVID-19 semasa tempoh mereka boleh menjangkiti orang lain.

Ini termasuk tempat makanan seperti McDonalds dan My Briyani House di Hillion Mall, Mr Teh Tarik di Hab Pengangkutan Bersepadu Bukit Panjang dan restoran Al-Sahira.

MOH menyatakan lebih 210 kes COVID-19 sudah dibenar keluar dari hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat. Secara keseluruhan, 46,308 pesakit sudah pulih daripada virus itu.

Dalam pada 148 lagi kes yang disahkan COVID-19 masih berada di hospital. Kebanyakan mereka dalam keadaan stabil atau beransur pulih dengan tiada pesakit di unit jagaan rapi. 

- CNA/NA/na

Top