Virus Korona

Images
  • covid (6)
    (Gambar: Try Sutrisno Foo)

S'pura lapor 27 jangkitan COVID-19; lelaki rakyat tempatan digugurkan dari jumlah terkumpul

SINGAPURA: Singapura melaporkan 27 kes baru COVID-19 setakat 12.00 tengah hari Rabu (16 Sep), termasuk dua kes dalam masyarakat dan dua kes import.

Seorang lelaki rakyat tempatan berusia 59 tahun, yang sebelum ini disenaraikan sebagai kes COVID-19, digugurkan daripada jumlah keseluruhan kes pada Rabu. Kes 57107 diuji negatif dua kali menyusuli hasil ujian positif pada awalnya, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

Lelaki tersebut sebelum ini diklasifikasikan sebagai kes import pada 5 September setelah diuji positif COVID-19 sehari sebelumnya. Beliau pulang dari Australia pada 25 Ogos dan diletakkan di bawah Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) apabila pulang ke tanah air.

MOH pada Rabu menyatakan siasatan oleh para pakar makmal dan panel pakar mendapati hasil ujian pertama lelaki itu adalah positif yang palsu.

"Semua tindakan kesihatan awam yang wajar sudahpun diambil awal dari itu dan baik kes itu mahupun kenalannya tidak terdedah kepada risiko jangkitan disebabkan oleh klasifikasi awal," jelas MOH.

Ini membawa jumlah kes COVID-19 turun satu kepada 57,514.

SEMUA KES BARU TIDAK BERGEJALA

Semua kes baru yang dilaporkan pada Rabu tidak menunjukkan simptom dan dikesan daripada saringan serta pengawasan.

Dua jangkitan dalam masyarakat adalah pemegang permit kerja yang dikesan melalui ujian rutin berjadual oleh MOH bagi para pekerja dari sektor-sektor binaan, marin dan pemprosesan yang tinggal di luar dormitori.

Salah satu daripadanya terkait dengan satu kes positif sebelum ini manakala seorang lagi tidak terkait dengan mana-mana kes buat masa ini.

Menurut MOH, jumlah kes baru dalam masyarakat jatuh dari purata dua kes setiap hari pada minggu sebelumnya kepada purata satu kes setiap hari pada minggu lalu.

Jumlah kes tanpa kaitan dalam masyarakat juga turun dari purata satu kes setiap hari pada minggu sebelumnya kepada purata kurang satu kes sehari pada minggu lalu.

Dua kes import yang dilaporkan pada Rabu melakukan perjalanan dari India. Mereka adalah rakyat Singapura yang pulang pada 12 September dan seorang pemegang pas jangka panjang yang sampai di sini pada 3 September.

Kedua-dua kes import itu diletakkan di bawah SHN setibanya di Singapura dan diuji semasa menjalani tempoh pengasingan di kemudahan yang ditetapkan.

MOH juga melaporkan 23 kes yang tinggal di dormitori. Daripada jumlah itu, 17 kes dikenal pasti sebelum ini sebagai kenalan kepada kes-kes awal dan sudahpun dikuarantin bagi mencegah penularan lanjut.

Baki enam kes pula dikesan menerusi ujian pengawasan.

MOH menyatakan hasil ujian serologi ke atas lapan kes itu kembali positif sejauh ini yang menandakan ia mungkin jangkitan lalu.

12 lagi kes terkait dengan kelompok di Dormitori CDPL Tuas yang kini mempunyai 52 kes disahkan positif secara keseluruhannya.

Daripada jumlah kes baru yang dilaporkan pada Rabu, 85 peratus adalah kes import atau terkait dengan kes mahupun kelompok yang diketahui manakala bakinya masih menanti pengesanan kontak.

Butiran lanjut boleh didapatkan melalui laporan keadaan harian MOH.

71 LAGI PESAKIT DIBENAR PULANG

Lagi 71 pesakit dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat pada Jumaat. Secara keseluruhannya, 56,955 pesakit sudah sembuh daripada jangkitan itu.

Buat masa ini, terdapat 42 kes yang masih berada di hospital, dengan sebilangan besar dalam keadaan stabil atau beransur pulih dan tiada yang dirawat di unit jagaan rapi. Lagi 490 kes diasingkan dan dijaga di kemudahan masyarakat.

Setakat ini, 27 pesakit meninggal dunia daripada komplikasi akibat jangkitan COVID-19.

People's Park Centre dan People's Park Complex ditambah ke dalam senarai tempat awam yang dikunjungi kes COVID-19 dalam masyarakat sewaktu tempoh berjangkit mereka.

Dua pusat beli-belah itu masuk senarai pada Selasa.

Antara tempat-tempat lain yang turut masuk senarai tersebut pada Selasa adalah Hougang Mall, IKEA Tampines, IMM, Junction 8, NEX, Plaza Singapura, Tiong Bahru Plaza dan HarbourFront Centre serta Lau Pa Sat dan cawangan Burger King di Terminal 1 Lapangan Terbang Changi.  


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

- CNA/FZ/fz

Top