Skip to main content

Iklan

Iklan

S'pura lapor 218 kes baru COVID-19; lagi 509 pesakit dibenar pulang

Singapura melaporkan 218 kes baru COVID-19 setakat sehingga 12.00 tengah hari tadi (9 Jun), termasuk enam kes dalam masyarakat.  

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura lapor 218 kes baru COVID-19; lagi 509 pesakit dibenar pulang

Para pekerja di Raffles Place pada waktu makan tengah hari. (Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 09 Jun 2020 11:36PM Dikemas Kini : 09 Jun 2020 11:39PM

SINGAPURA: Singapura melaporkan 218 kes baru COVID-19 setakat sehingga 12.00 tengah hari tadi (9 Jun), termasuk enam kes dalam masyarakat.

Empat daripada mereka adalah pemegang pas kerja manakala dua lagi adalah pemegang permit kerja, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

Daripada kes-kes dalam masyarakat, tiga dikesan berikutan pemeriksaan proaktif dalam kalangan para pekerja yang bertugas dalam sektor khidmat penting.

Tiga kes lain adalah teman serumah bagi kes yang disahkan sebelum ini dan sudahpun menjalani kuarantin di kemudahan-kemudahan pemerintah.

"Mereka tidak mengalami gejala tetapi kami menjalankan ujian swab ke atas mereka untuk mengesahkan status mereka sewaktu kuarantin," jelas MOH.

Sejumlah 212 kes pula melibatkan para pemegang permit kerja yang tinggal di dormitori-dormitori pekerja asing.

Satu kelompok baru dikenal pasti pada Selasa di dormitori yang terletak di 145 Tuas View Square.

MOH juga mengumumkan lagi 509 kes yang sudah dibenarkan keluar hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat.

Secara keseluruhannya, 25,877 pesakit sudah sembuh sepenuhnya daripada jangkitan itu dan dibenarkan keluar hospital atau kemudahan jagaan kesihatan.

Kini terdapat 249 kes disahkan positif yang masih dirawat di hospital, kebanyakannya dalam keadaan stabil atau beransur pulih. Sementara itu, tiga pesakit dalam keadaan tenat di unit jagaan rapi (ICU).

Seramai 12,364 pesakit diasingkan dan dijaga di kemudahan masyarakat.

Di samping itu, pusat beli-belah Hougang Green dimasukkan dalam senarai tempat awam yang dikunjungi kes-kes masyarakat COVID-19 semasa tempoh berjangkit.

Jumlah kes COVID-19 di Singapura kini sebanyak 38,514.

Memberikan responsnya mengenai keprihatinan terhadap peningkatan pada jumlah kes COVID-19 dalam masyarakat baru-baru ini semasa Fasa 1 pembukaan semula Singapura, Menteri Kesihatan Gan Kim Yong berkata pada Isnin ini bahawa ia disebabkan oleh pemeriksaan "proaktif".

"Hakikatnya, banyak kes dalam masyarakat, yang kita lihat dalam tempoh seminggu yang lalu disebabkan oleh pemeriksaan yang dijalankan secara proaktif untuk menguji kumpulan-kumpulan yang menjadi sasaran kita," katanya.

Ini termasuk kakitangan dan penghuni rumah tumpangan warga senja, kakitangan prasekolah dan mereka yang kembali bekerja.

Ujian juga diperluaskan untuk merangkumi para individu yang didiagnosis dengan jangkitan pernafasan akut (ARI) pada kali pertama mereka berjumpa doktor.

Pusat-pusat pemeriksaan daerah juga ditubuhkan di merata negara. Dua daripadanya di Old Police Academy dan Pentas Terapung di Marina Bay dibangunkan minggu lalu. Dua lagi pusat tersebut di dewan-dewan sukan di Bukit Gombak dan Bishan pula ditubuhkan pada Isnin.

Satu peranti boleh dipakai turut diumumkan untuk membantu mengesan penularan COVID-19 di Singapura.

Kumpulan pertama peranti pengesan kontak, atau token TraceTogether, akan diagihkan pada separuh kedua bulan Jun. Operasi dan fungsinya sama seperti cara aplikasi TraceTogether digunakan melalui telefon bijak. Ia akan membantu mengenal pasti kes-kes COVID-19 dan kontak rapatnya.

Data akan digunakan untuk memetakan aktiviti kes-kes dan mengenal pasti pelbagai interaksi mereka.

Peranti itu mungkin akan diagihkan melalui kelab-kelab masyarakat.  


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan