Skip to main content

Iklan

Iklan

S'pura lancarkan VTL dengan India, Indonesia & Arab Saudi

Singapura akan melanjutkan skim laluan perjalanan bagi penumpang divaksin (VTL) ke lebih banyak negara bermula 29 November ini.

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura lancarkan VTL dengan India, Indonesia & Arab Saudi

Penumpang mengimbas pasport mereka di kaunter automatik di imigresen sebelum memasuki Singapura (Gambar: Marcus Mark Ramos)

Diterbitkan : 15 Nov 2021 07:49PM Dikemas Kini : 15 Nov 2021 07:50PM

SINGAPURA: Singapura akan melanjutkan skim laluan perjalanan bagi penumpang divaksin (VTL) ke lebih banyak negara bermula 29 November ini.

Demikian menurut Kementerian Kesihatan (MOH) hari ini (15 Nov).

Singapura berhasrat melancarkan VTL dengan India dan Indonesia mulai 29 November dan dengan Qatar, Arab Saudi dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) mulai 6 Disember.

Bercakap di sidang media pasukan bertindak berbilang kementerian bagi COVID-19 hari ini, Menteri Pengangkutan S Iswaran, berkata Singapura dan India sedang berunding tentang pengiktirafan bersama bagi sijil-sijil vaksinasi.

Sejak 12 November, India sudah mula mengiktiraf sijil-sijil vaksinasi yang dikeluarkan Singapura.

"Ini bermakna para pelawat lengkap divaksin dari Singapura yang memasuki India tidak lagi perlu menjalani ujian dan kuarantin sebaik tiba di negara itu, mereka hanya perlu memantau diri sendiri selama 14 hari selepas ketibaan," kata Encik Iswaran.

MOH, tambah Encik Iswaran, juga mengemas kini penilaian kesihatan awam dan akan memasukkan India ke dalam Kategori 2 mulai 19 November.

"Kami sedang berbincang (dengan India) tentang penyambungan semula khidmat-khidmat penerbangan komersil penumpang yang dijadualkan. Setakat hari ini satu-satunya penerbangan dari Singapura yang dibenarkan membawa penumpang ke India adalah pesawat-pesawat yang disewa pemerintah di bawah misi Vande Bharat."

Beliau menambah: "Perbincangan kami dengan India sedang berjalan dengan baik. Dan kami menyasarkan untuk menyambung semula dua penerbangan VTL sehari ke Chennai, Delhi dan Mumbai menjelang 29 November. Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) akan menyediakan lebih banyak perincian sebaik sahaja ia dimuktamadkan."

Permohonan bagi para pelawat jangka pendek dan pemegang pas jangka panjang pula akan bermula 22 November bagi para pengunjung dari India dan Indonesia, dengan para pelawat dari Qatar, Arab Saudi dan UAE dibolehkan membuat permohonan mulai 29 November.

Rakyat dan Penduduk Tetap Singapura lengkap divaksin yang pulang ke tanah air tidak perlu membuat permohonan jika mereka melakukan perjalanan melalui VTL.

"Para pelawat yang berniat untuk melakukan perjalanan dari Singapura untuk ke negara-negara/rantau ini dinasihatkan supaya memeriksa syarat-syarat kemasukan sedia ada bagi destinasi (yang ingin dituju)," menurut MOH dalam kenyataan medianya hari ini.

Sehingga hari ini, Singapura sudah melancarkan 13 VTL termasuk Australia, Kanada dan Jerman. Singapura sebelum ini mengumumkan bahawa ia akan melancarkan VTL dengan Malaysia, Finland dan Sweden mulai 29 November.

Para pelawat di bawah VTL tidak tertakluk kepada Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) sebaik ketibaan. Sebaliknya, mereka perlu menunjukkan keputusan negatif ujian COVID-19 dua hari sebelum berlepas dan menjalani ujian PCR sebaik ketibaan.

Dalam satu kenyataan berasingan, CAAS menyatakan pelanjutan bertahap-tahap VTL membolehkannya "menghidupkan semula perjalanan udara secara selamat tanpa risiko menjejas kesihatan awam".

CAAS menambah ia juga akan membantu "menebus dan membangunkan semula" status Singapura sebagai hab penerbangan antarabangsa dengan ketersambungan sejagat.

Sumber : CNA/NK/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan