Koronavirus

Images
  • Sg covid'
    Gambar fail pejalan kaki di Singapura. (Gambar: Marcus Mark Ramos)

S'pura laksana semula langkah lebih ketat COVID-19

SINGAPURA: Dengan jumlah kes COVID-19 yang kian meningkat dalam kalangan masyarakat baru-baru ini, Singapura mengumumkan sekatan-sekatan lebih ketat bagi tempoh sekitar tiga minggu mulai Sabtu (8 Mei) untuk membendung penularannya.

Tempat-tempat yang dianggap berisiko tinggi, seperti gimnasium tertutup dan studio-studio kecergasan akan ditutup manakala hanya sejumlah kecil orang dibenarkan memasuki tempat-tempat daya tarikan, perpustakaan awam, upacara pengebumian atau persemadian dan acara-acara MICE.

Had jumlah orang bagi satu-satu perhimpunan juga akan dikurangkan daripada lapan kepada lima - membawa Singapura kembali ke Fasa 2, yang berakhir pada 27 Disember lalu.

Berikut adalah beberapa perubahan yang mungkin menjejas kegiatan-kegiatan harian anda:

BOLEHKAH JUMPA RAKAN DAN KELUARGA DI RUMAH MEREKA?

Boleh, tetapi setiap rumah hanya boleh menerima lima pengunjung dalam sehari.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya mengadakan hanya dua perhimpunan sosial dalam sehari, sama ada untuk ke sebuah rumah yang lain atau berjumpa rakan-rakan atau keluarga di tempat awam.

Peraturan lima orang dalam satu perhimpunan tertakluk kepada semua perhimpunan awam, termasuk makan di restoran-restoran.

BOLEHKAH KE KELAS-KELAS SENAMAN?

Boleh, tetapi hanya jika anda mengikuti kelas-kelas di tempat-tempat terbuka, yang tertakluk kepada had 30 peserta.

Saiz kumpulannya mesti dihadkan kepada lima orang, dengan jarak tiga meter antara setiap kumpulan.

Bagaimanapun, gim-gim tertutup dan studio-studio kecergasan akan ditutup kerana ia dianggap berisiko tinggi.

Ini adalah ruang tertutup kecil di mana anggota masyarakat biasanya tidak memakai pelitup semasa bersenam dan berada pada jarak dekat dengan orang lain yang juga tidak memakai pelitup, menurut pihak berkuasa.

APA SEKATAN DI TEMPAT KERJA?

Lebih ramai orang perlu bekerja dari rumah.

Mulai 8 Mei hingga 30 Mei, jumlah pekerja yang kembali ke tempat kerja akan dikurangkan kepada 50 peratus, turun daripada 75 peratus sekarang.

Bagi mereka yang kembali ke tempat kerja, para majikan mesti mengadakan waktu mula kerja yang berbeza-beza dan melaksanakan waktu kerja lebih fleksibel. Aturan kerja berasingan tidak diperlukan.

Bagaimanapun, perhimpunan sosial di tempat-tempat kerja perlu dielakkan, menurut pihak berkuasa. Jika ia tidak dapat dielakkan, perhimpinan mesti dihadkan kepada lima orang sekumpulan.

BOLEHKAH HADIRI UPACARA KEAGAMAAN?

Boleh, tetapi ujian-ujian COVID-19 sebelum upacara sedemikian mesti dilakukan bagi upacara dengan lebih 100 hadirin pada satu-satu masa.

Tiada perubahan pada had 250 hadirin. Cuma sekarang, ujian COVID-19 sebelum setiap upacara tidak diperlukan.

Sebagai langkah tambahan, kegiatan bernyanyi secara beramai-ramai akan digantung bagi semua pertubuhan agama untuk membendung risiko penularan COVID-19.

SEJAUH MANA MAJLIS PERKAHWINAN, UPACARA PENGEBUMIAN TERJEJAS?

Seperti sekatan-sekatan sedia ada, majlis-majlis pernikahan dan perkahwinan boleh diteruskan dengan sehingga 250 tetamu.

Ini termasuk pasangan pengantin dan tidak termasuk kadi dan para penyedia khidmat.

Para tetamu mesti ditempatkan dalam zon-zon yang dihadkan sehingga 50 tetamu dalam setiap zon.

Apa yang baru adalah, ujian COVID-19 mesti dijalankan jika majlis pernikahan mereka melibatkan lebih 50 tetamu.

Begitu juga bagi majlis-majlis perkahwinan yang dihadiri sehingga 250 tetamu, ia boleh diteruskan dalam zon-zon atau slot masa bagi sehingga 50 tetamu.

Namun ujian sebelum acara akan diperlukan bagi semua tetamu jika majlis melibatkan lebih 50 orang. Had tersebut buat masa ini ditetapkan seramai 100 orang.

Bagi upacara pengebumian atau persemadian, had tetamu akan dikurangkan kepada 30 daripada 50.

Had bagi hari penghormatan terakhir (wake) kekal 30 orang pada satu-satu masa.

ADAKAH DAYA TARIKAN, WISATA DITUTUP?

Tidak, tetapi had jumlah pengunjung dikurangkan.

Jumlah pengunjung di daya tarikan, muzium dan perpustakaan awam akan dikurangkan daripada 65 peratus kepada 50 peratus.

Kumpulan-kumpulan wisata perlu mengurangkan jumlah peserta kepada 20 berbanding 50 sekarang.

Bagi pawagam, ujian COVID-19 sebelum menonton akan diperlukan jika terdapat lebih 100 pengunjung. Tiada perubahan pada jumlah pengunjung dibenarkan ke pawagam, iaitu sehingga 250.

GUNA TRACE TOGETHER

Orang ramai diingatkan supaya membawa token TraceTogether apabila keluar rumah atau menggunakan aplikasi TraceTogether dalam telefon bimbit.

SafeEntry yang menggunakan TraceTogether di lokasi-lokasi berisiko tinggi akan dilaksanakan pada 17 Mei, selepas pihak berkuasa mengumumkan pelaksanaannya akan dipercepatkan dua minggu.

Imbasan kod QR bagi SafeEntry menggunakan kamera telefon bimbit dan aplikasi SingPass tidak akan digunakan lagi mulai hari yang sama.

Penggunaan kad pengenalan untuk ke lokasi-lokasi sedemikian bagaimanapun akan dibenarkan sehingga 31 Mei untuk melancarkan peralihan ke TraceTogether. 

- CNA/NK/nk

Top