Skip to main content

Iklan

Iklan

S'pura 'besar kemungkinan' laksana suntikan dos ketiga vaksin COVID-19

Singapura "besar kemungkinan" akan memulakan vaksinasi tambahan COVID-19, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Khamis (19 Ogos). Beliau menambah ia adalah wajib bagi mereka yang mempunyai sistem imun lemah yang teruk untuk mendapatkan dos ketiga vaksin. 

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura 'besar kemungkinan' laksana suntikan dos ketiga vaksin COVID-19

Kakitangan Minmed membersihkan kerusi-kerusi sebelum anggota awam tiba untuk vaksinasi mereka. (Gambar: Marcus Mark Ramos)

Diterbitkan : 19 Aug 2021 09:53PM Dikemas Kini : 19 Aug 2021 09:56PM

SINGAPURA: Singapura "besar kemungkinan" akan memulakan vaksinasi tambahan COVID-19, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Khamis (19 Ogos). Beliau menambah ia adalah wajib bagi mereka yang mempunyai sistem imun lemah yang teruk untuk mendapatkan dos ketiga vaksin.

Ini termasuk pesakit yang menjalani rawatan barah, pesakit pemindahan organ, pesakit yang menjalani terapi imunosupresif dan pesakit penyakit ginjal tahap akhir yang menjalani dialisis.

"Disebabkan oleh keadaan mereka, individu ini kurang bertindak balas terhadap vaksinasi walaupun setelah dua dos, bermakna mereka tidak boleh menghasilkan sebanyak antibodi atau mengaktifkan mekanisme yang diperlukan bagi melawan virus itu," jelas Encik Ong.

"Lantas, dos ketiga vaksin perlu bagi mereka."

Jawatankuasa Pakar mengenai Vaksinasi COVID-19 akan membuat saranannya berhubung perkara ini tidak lama lagi, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kenyataannya pada Khamis.

MOH menyatakan ia juga sedang meninjau keperluan untuk meningkatkan respons imun individu yang mempunyai respons imun lebih lemah terhadap vaksinasi meskipun sudah menyelesaikan rejim vaksinasi penuh.

Ini setelah Pengarah Khidmat Perubatan MOH Kenneth Mak berkata pada 6 Ogos lalu bahawa jawatankuasa itu sedang membincangkan sama ada suntikan ketiga COVID-19 perlu diberikan kepada kumpulan-kumpulan tertentu seperti warga tua, individu mudah terjejas dan pekerja jagaan kesihatan atau kepada penduduk am.

MOH menyatakan pada Khamis bahawa meskipun sebilangan besar penduduk kini sudah divaksin, ia membuat perancangan awal bagi memastikan orang ramai akan terus dilindungi dengan baik daripada COVID-19 dan varian-varian barunya apabila ia muncul.

"Jawatankuasa Pakar mengenai Vaksinasi COVID-19 telahpun menyemak dan memantau data tempatan serta luar negara mengenai vaksin tambahan dan sedang membangunkan saranan mengenai strategi tambahan Singapura," menurutnya.

Encik Ong berkata pada 8 Julai bahawa suntikan ketiga vaksin tu mungkin dimulakan sekitar Tahun Baru Cina tahun depan.

Menteri itu memberi respons kepada soalan-soalan daripada orang awam tentang hidup dengan COVID-19 melalui satu siaran langsung di Instagram, menurut akhbar Lianhe Zaobao yang melaporkan kenyataan beliau tersebut.

Merujuk kepada contoh-contoh di negara-negara lain, Encik Ong berkata pada Khamis bahawa Israel sudahpun memberikan suntikan tambahan kepada warga tua dan golongan yang mudah terjejas sementara di United Kingdom, Jerman dan Perancis, ia akan dimulakan pada September.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat juga menyarankan suntikan ketiga vaksin diberikan lapan bulan dari pengambilan dos kedua.

"Negara-negara ini memulakan vaksinasi lebih awal daripada kita dan maka itu, kita sekarang mempunyai kelebihan untuk memerhatikan mereka dan belajar daripada pengalaman mereka," ujar Encik Ong.

Encik Ong berkata jawatankuasa pakar sedang mengkaji dua "perkara utama" sebelum memuktamadkan saranan-saranannya.

Pertama adalah kejadian tindak balas buruk dan sama ada ia akan berkurangan atau menjadi lebih kerap berbanding dos pertama atau kedua.

"Jika ia lebih kerap, apakah langkah-langkah yang boleh kita ambil untuk mengurangkan dan menghapuskan risiko itu," kata Encik Ong.

Kedua adalah sama ada suntikan ketiga seharusnya dari jenama vaksin yang sama.

"Terdapat asas saintifik untuk mencadangkan bahawa strategi heterologi dapat memberikan perlindungan yang lebih tinggi," kata Encik Ong, merujuk kepada kaedah mencampurkan jenama vaksin yang berbeza.

"UK melaksanakan strategi seumpama itu dan kami akan memantau hasilnya dengan rapi."

Encik Ong berkata terdapat "kumpulan agak besar" individu di Singapura yang mengambil dos pertama vaksin mRNA dan mendapati mereka mempunyai alahan terhadapnya sebelum mengambil dos kedua vaksin Sinovac.

"Jawatankuasa itu akan memantau rapi respons imun mereka," katanya.

Encik Ong juga berkata vaksinasi bagi kanak-kanak berusia bawah 12 tahun seharusnya bermula sekitar awal 2022. Ini dilakukan selepas pihak berkuasa "mengkaji dengan teliti aspek-aspek keselamatan dan keberkesanannya", ujarnya lagi.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan