Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

S'pura antara 5 bandar paling selamat pasca-COVID-19

Pandemik sedahsyat ini adalah yang pertama seumpamanya melanda kita semua sebagai spesis "bandar".

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura antara 5 bandar paling selamat pasca-COVID-19

Gambar fail: Diane Leow

Diterbitkan : 08 Oct 2021 10:21PM Dikemas Kini : 08 Oct 2021 10:24PM

BRITAIN: Belum ada insiden dalam lipatan sejarah masyarakat moden yang mengubah kehidupan di banda hanya dalam sekelip mata seperti kesan COVID-19.

Dari penutupan pejabat di pusat bandar hingga pemakaian pelitup dan sekatan di restoran, langkah berjaga-jaga pandemik ini sudah mengubah landskap bandar di merata dunia - mungkin buat satu tempoh yang panjang.

Malah, pandemik sedahsyat ini adalah yang pertama seumpamanya melanda kita semua sebagai spesis "bandar".

Semasa Spanish Flu (Selesema Sepanyol) pada awal tahun 1900an, hanya 14 peratus manusia menetap di bandar.

Namun sekarang, jumlah itu meningkat kepada 57 peratus, menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh Divisyen Penduduk UK.

Lantaran itu, bandar-bandar perlu lebih berjaga-jaga dari segi perlindungan kesihatan dan keselamatan secara menyeluruh untuk lebih melindungi penduduknya.

Untuk menjelaskan apakah perubahan-perubahan yang membawa kepada tahap keselamatan lebih baik, Unit Perisikan Ekonomi baru-baru ini mengeluarkan Indeks Bandar Selamat 201, yang memberi rangking kepada 60 bandar berdasarkan 76 penanda keselamatan.

Ini termasuk faktor prasarana, kehidupan digital, keselamatan peribadi, sekitaran dan pastinya kesihatan - dengan tahap kesediaan pandemik dan kematian akibat COVID-19 dimasukkan pada tahun ini.

Antara bandar yang menduduki tempat teratas dalam indeks itu adalah Copenhagen, Toronto, Singapura, Sydney dan Tokyo. Semuanya mempunyai faktor-faktor yang menunjukkan sejauh mana keselamatan secara menyeluruh ada hubung kait dengan semangat perpaduan sosial yang utuh, keseluruhan penyertaan penduduk dan kepercayaan masyarakat.

Menurut BBC, pihaknya bercakap kepada penduduk di lima bandar itu untuk melihat sejauh mana perubahan akibat pandemik ini menjadikan bandar mereka lebih selamat, inklusif dan berdaya bingkas; dan apa yang perlu diketahui pengunjung untuk kekal selamat ketika melancong ke sana.

COPENHAGEN

Di kedudukan pertama indeks tersebut, ialah ibu kota Denmark, Copanhagen.

Ini disebabkan tunjang baru keselamatan sekitaran dalam indeks tersebut, yang mengukur kemampanan (termasuk insentif tenaga boleh diperbaharui), mutu udara urusan sisa dan perlindungan hutan bandar.

Ia meninggalkan kesan yang menunjukkan sejauh mana bandar itu dan penduduknya dapat menangani sekatan-sekatan pandemik, yang sudah ditarik balik kesemuanya setakat September 2021.

"Taman-taman dan kawasan-kawasan menghijau serta laluan air sangat popular semasa pandemik. Penduduk Copenhagen keluar bersiar-siar di kawasan sekitar membeli makanan dibungkus dan menikmati ruang udara yang banyak di bandar itu," kata seorang penduduk, Asbjørn Overgaard.

Bandar itu juga terus menyediakan "panduan Korona" untuk membantu penduduk serta memasang banyak papan dan penanda jelas untuk mewujudkan ruang antara kumpulan-kumpulan di luar.

Semangat masyarakat di negara itu, boleh disimpulkan dengan perkataan Denmark - samfundssind, yang mengupaya rakyat negara itu untuk bekerjasama dan saling mempercayai antara satu sama lain - termasuk pegawai pemerintah - untuk mewujudkan sekitaran kehidupan yang selamat.

Indeks Bandar Selamat mendapati terdapat kaitan rapat antara kawalan rasuah dengan bandar selamat. Maka tidak hairanlah ranking Denmark sebagai salah sebuah negara di dunia paling sedikit rasuah membolehkan rakyatnya untuk mempercayai institusi-institusi dan antara satu sama lain sepanjang pandemik.

Copenhagen juga melaksanakan program ujian COVID-19 besar-besaran, yang masih ditawarkan percuma kepada semua orang, termasuk pelancong.

Data yang dikumpulkan membolehkan pemantauan rapi bagi penularan. Selain itu, bandar tersebut akan melaksanakan ujian air kumbahan untuk mengesan penularan lebih awal.

TORONTO

Bandar terbesar Kanada ini berada di tempat kedua dalam indeks keselamatan keseluruhan, dengan markah tinggi dalam keselamatan prasarana dan sekitaran.

Penduduknya menyatakan budaya inklusif menghargai komunikasi bersasar dalam kalangan masyarakat, khususnya semasa meningkatkan kesedaran tentang vaksin dan pengambilannya.

Penduduk Toronto Farida Talaat merujuk kepada usaha bandar itu memulakan beberapa program vaksinasi khusus masyarakat untuk membantu menjadikan bandar tersebut lebih selamat.

Penduduk juga berasa selamat disebabkan sejarah panjang berbilang budaya di bandar itu.

SINGAPURA

Di kedudukan kedua dari segi keselamatan digital, kesihatan dan prasarana, Singapura memanfaatkan kekuatan tersebut untuk bertindak pantas di awal pandemik, dengan memulakan pemantauan digital dan pengesanan kontak dengan cepat.

Singapura juga merupakan antara negara yang mempunyai kadar tinggi vaksinasi (sekarang ini pada kadar lebih 80 peratus). Namun ia masih melaksanakan pemantauan ketat dan pengesanan kontak sedang varian-varian baru muncul.

"Sebelum boleh memasuki bangunan atau premis, semua penduduk perlu mengimbas alat atau aplikasi TraceTogether bagi SafeEntry," kata seorang penduduk bernama Sam Lee.

"Ini membolehkan pihak berkuasa mengesan dengan cepat individu-individu yang mungkin bergaul atau berinteraksi dengan orang yang sudah dijangkiti supaya boleh dikuarantin untuk membendung penularan atau memutuskan rantaian jangkitan."

Pelawat ke Singapura juga perlu memuat turun aplikasi TraceTogether atau menyewa telefon yang sudah dimuat turun aplikasinya sebelum memasuki negara itu.

Bekerja dari rumah juga sudah menjadi perkara biasa bagi kebanyakan tempat kerja untuk mengurangkan interaksi, yang menurut Encik Lee, mengurangkan kesesakan dalam pengangkutan awam, menurut BBC.

Daya tarikan pelancong dan pusat beli belah juga mengehadkan jumlah pengunjung dan "Duta Jarak Selamat" memantau kesesakan untuk memastikan orang ramai mematuhi perintah kesihatan. Mereka yang melanggar peraturan akan dikenakan denda berat.

Orang ramai juga boleh memeriksa keadaan di pusat beli belah, pejabat pos dan pasar raya menerusi aplikasi baru Space Out.

SYDNEY

Bandar terbesar Australia itu menduduki tempat kelima secara menyeluruh dalam indeks tersebut dan tempat ke-10 dari segi keselamatan kesihatan.

Australia merupakan salah satu negara pertama yang menutup terus sempadannya semasa pandemik dan mengekalkan perintah berkurung ketat semasa jumlah kes meningkat. Langkah tersebut terbukti membuahkan hasil.

Kadar kematian COVID-19 per kapita di Australia terus dicatat sebagai antara yang paling rendah di dunia, lapor BBC.

Sedang kadar vaksinasi mencecah 70 peratus di New South Wales, kebanyakan sekatan tersebut dijangka ditarik balik dan sempadan antarabangsa dibuka semula pada November.

Selain itu, penduduknya juga berasa sangat selamat di jalan-jalan raya Sydney.

Bandar itu juga menduduki tempat pertama dari segi keselamatan digital, termasuk dasar privasi, perlindungan keselamatan siber dan ancaman serta pelan menyeluruh bagi bandar bijak.

TOKYO

Ibu kota Jepun menduduki tempat kelima dalam keseluruhan indeks dan tempat pertama dari segi indeks keselamatan kesihatan, yang mengukur faktor-faktor seperti jagaan kesihatan universal, kesediaan pandemik, jangka hayat, kesihatan mental dan kadar kematian akibat COVID-19, lapor BBC.

Meskipun jumlah kes melonjak menyusuli temasya Olimpik, kadarnya merosot mendadak sedang kadar vaksinasi penduduk mencecah hampir 60 peratus.

Oleh itu, Jepun mengumumkan keadaan darurat sudah berakhir dan sekatan-sekatan dilonggarkan secara bertahap-tahap setakat hujung September 2021.

Tokyo juga mencatat markah lima teratas bagi keselamatan prasarana, termasuk keselamatan pengangkutan, tahap mesra pejalan kaki dan rangkaian pengangkutan.

Sebagai bandar yang boleh dikunjungi dengan berjalan kaki ke sana ke mari, Tokyo dibangunkan untuk menggalak berjalan dan pendampingan masyarakat. Ini mewujudkan sebuah masyarakat yang saling mendukung dari segi keselamatan, misalnya pencegahan dan pemantauan jenayah di kawasan kejiranan dan saling berkongsi rasa tanggungjawab mencegah jenayah. 

Sumber : Agensi berita/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan