Virus Korona

Images
  • robot (1)

Robot pembasmi kuman bakal diguna di pusat beli-belah, sistem pengangkutan S'pura

SINGAPURA: Robot-robot pembasmi kuman bakal digunakan di pusat beli-belah, pasar raya, hospital dan sistem pengangkutan di Singapura tidak lama lagi.

Pasukan pencipta robot tempatan itu mendakwa mesin itu boleh membasmi sebuah kawasan enam kali lebih pantas daripada tenaga manusia.

Ini amatlah berguna di tengah-tengah kekurangan tenaga kerja akibat usaha menentang COVID-19.

Northpoint City merupakan antara pusat beli belah yang mendapatkan khidmat "anggota" terbaru pasukan pembersihan UV itu.

Robot tersebut boleh memancarkan cahaya UV yang boleh membasmi kuman.

Ia juga boleh beroperasi sendiri asalkan ada peta kawasan untuk dibersihkan.

Di tengah-tengah pandemik COVID-19, pengurus Northpoint City berkata pihaknya merancang untuk mengerahkan lebih banyak robot sedemikian di pusat beli-belah lain.

Teknologi UV itu turut digunakan di Hospital Besar Singapura (SGH) yang menggunakan enam mesin tidak bergerak untuk membersihkan wad-wad pengasingan.

SGH menyatakan mesin sedia ada itu juga mengurangkan masa proses pembersihan daripada dua jam kepada 45 minit.

SGH sedang berusaha mendapatkan lebih banyak mesin serupa termasuk yang bergerak sendiri supaya dapat meliputi lebih banyak kawasan secara berkesan.

Firma robotik tempatan PBA menyatakan lebih 200 robot UV-C automatik akan dihasilkan menjelang hujung tahun ini.

Robot-robot itu boleh membasmi kawasan 15 meter persegi dalam masa 10 minit berbanding sejam jika dilakukan dengan tangan.

Syarikat itu mendakwa penggunaan robot lebih baik kerana pendedahan kepada cahaya UV yang berlarutan adalah merbahaya kepada manusia.

- CNA/RU/na

Top