Koronavirus

Images
  • malaysia covid-19
    Seorang petugas kesihatan di sebuah hospital di Malaysia. (Gambar fail: REUTERS)

RM593 juta dibelanja bagi perolehan darurat peralatan hospital rawat COVID-19 di M'sia

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM593 juta (S$191 juta) sudahpun dibelanjakan bagi perolehan darurat peralatan tambahan hospital yang diperlukan bagi merawat kes COVID-19 sejak dua tahun lalu, Dewan Rakyat Malaysia diberitahu hari ini (22 Sep).

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata perolehan yang dibuat pada 2020 dan tahun ini sudahpun diagihkan mengikut keperluan ke semua kemudahan kesihatan di seluruh negara.

"Ia termasuk peralatan seperti katil pesakit biasa, katil pesakit Unit Rawatan Rapi (ICU), pengalih udara, ultrabunyi, penyejuk beku badan, kontena mayat, silinder oksigen dan lain-lain lagi.

"Ini tidak termasuk sumbangan peralatan yang diterima dari dalam dan luar negara yang bernilai RM148 juta (S$47 juta)," katanya keitka menjawab soalan Abdullah Sani Abdul Hamid (PH-Kapar) yang meminta Encik Khairy menyatakan status kebolehupayaan peralatan hospital kerajaan yang digunakan untuk merawat pesakit COVID-19.

Encik Khairy berkata selain menambah peralatan hospital, Kementerian Kesihatan (KKM) juga menubuhkan 'National Rapid Response Task Force' supaya petugas kesihatan boleh dikerahkan ke negeri-negeri yang mempunyai kes jangktian inggi ketika ini seperti Pulau Pinang, Kedah dan Sabah.

Menurut Khairy setakat ini seramai 223 petugas kesihatan sudah dihantar ke Pulau Pinang, 156 ke Kedah dan 102 orang ke Sabah bagi memastikan kes-kes kritikal dapat ditangani dengan baik dan petugas kesihatan tidak mengalami burn out (keletihan melampau).

Menjawab soalan tambahan Encik Abdullah Sani mengenai sama ada KKM akan menubuhkan sebuah hospital kekal untuk merawat kes COVID-19, Encik Khairy berkata buat masa ini, KKM akan mengekalkan status hospital yang sudahpun ditukarkan sebagai hospital penuh COVID-19 di negeri-negeri seluruh negara.

"Perancangan itu saya tak boleh sebut berapa lama tetapi kita harap dengan penurunan kes, lebih banyak hospital hibrid yang mana sebahagian wad diambil alih (untuk rawat COVID-19) dapat dijadikan semula hospital biasa," katanya.

Sementara itu, Encik Khairy berkata KKM kini sedang dalam usaha menambah pusat penilaian COVID-19 secara maya (VCAC) bagi mengurangkan kesesakan di pusat penilaian tersebut.

- BERNAMA/FZ/fz

Top