Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Risiko COVID-19 kembali menular dalam masyarakat belum pudar; penting terus amalkan tanggungjawab sosial, tekan Masagos

Risiko virus korona kembali menular dalam masyarakat tidak boleh dipandang ringan. Maka itu, Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli mengingatkan betapa gentingnya setiap individu memainkan peranan masing-masing agar Singapura selamat dan akhirnya bebas daripada pandemik tersebut. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Risiko virus korona kembali menular dalam masyarakat tidak boleh dipandang ringan. Maka itu, Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli mengingatkan betapa gentingnya setiap individu memainkan peranan masing-masing agar Singapura selamat dan akhirnya bebas daripada pandemik tersebut.

Dengan pembukaan semula lebih banyak premis dan kesambungan kegiatan secara beransur-ansur dalam Fasa 2 mulai 19 Jun, Encik Masagos menekankan amat penting anggota masyarakat mengamalkan kebersihan diri yang baik dan memastikan ruang-ruang awam sentiasa bersih.

"Ramai di antara kita sedang menantikan untuk dapat menjamu selera di tempat-tempat makan kegemaran dalam Fasa 2. Sila ambil perhatian supaya terus mengelakkan daripada kesesakan, mematuhi penjarakan selamat dan memikul tanggungjawab bagi memastikan tempat-tempat bersih," nasihat Menteri itu dalam satu catatan Facebook yang dimuatnaikkan pada Rabu (17 Jun).

Contoh satu amalan mudah oleh Encik Masagos adalah untuk membuang tisu atau tisu basah yang sudah digunakan ke dalam tong sampah berdekatan dan bukan membiarkannya begitu saja di atas meja.

"Barangan seperti ini berpotensi menyebarkan kuman atau virus kepada sesiapa sahaja yang menyentuhnya secara langsung ataupun permukaan di mana ia ditinggalkan," jelas Encik Masagos.

(Gambar: NEA menerusi Masagos Zulkifli/Facebook)

(Gambar: NEA menerusi Masagos Zulkifli/Facebook)

Selain itu, beliau juga menggalak orang ramai supaya menggunakan dulang apabila makan di pusat penjaja dan kedai kopi. Kemudian, tambah menteri itu, pulangkan pinggan mangkuk dan dulang ke kawasan yang ditetapkan di pusat penjaja serta kedai kopi kerana langkah ini membantu membersihkan meja bukan untuk kegunaan diri sendiri sahaja bahkan pengunjung lain juga.

Di samping itu, Encik Masagos turut mendedahkan bahawa Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) akan memperkenalkan Program Peningkatan Tandas untuk menaik taraf kemudahan itu di pusat penjaja serta kedai kopi. Ia bertujuan meningkatkan tahap kebersihan di tempat-tempat berkenaan terutama yang memiliki prasarana yang semakin usang.

Sejajar dengan matlamat menjadikan pusat penjaja dan kedai kopi lebih bersih, NEA bersama-sama Agensi Makanan Singapura (SFA) juga akan mengenakan denda lebih tinggi ke atas pengendali tandas awam bagi sebarang kecuaian pada tahap kebersihannya.

(Gambar: NEA menerusi Masagos Zulkifli/Facebook)

(Gambar: NEA menerusi Masagos Zulkifli/Facebook)

Di peringkat individu pula, Encik Masagos berharap pengguna tandas awam dapat membantu memastikan kemudahan itu bersih, selamat dan menyenangkan untuk kegunaan semua. Beliau menasihatkan agar pengguna mengepam sepenuhnya jamban setelah menggunakannya, tidak mengotori tempat duduk jamban, menutup tong sampah dengan betul serta memastikan lantai tidak licin.

"Dengan mengamalkan tanggungjawab sosial sedang kita menjalani kehidupan seharian, kita menjaga diri sendiri, orang tersayang serta masyarakat," ujarnya.  

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan