Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ribuan penduduk keluar Wuhan selepas sekatan perjalanan ditarik balik

Beribu-ribu orang dilihat membanjiri stesen kereta api untuk meninggalkan bandar Wuhan pada Rabu (8 Apr) selepas pihak berkuasa menarik balik larangan perjalanan keluar masuk, yang dikuatkuasakan selama lebih dua bulan di bandar China yang paling teruk terjejas oleh wabak COVID-19 itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Ribuan penduduk keluar Wuhan selepas sekatan perjalanan ditarik balik

Orang ramai memakai pelitup menunggu pengangkutan setelah melepasi pusat pemerikasaan di Wuhan, wilayah tengah Hubei, China pada April 2020. (Gambar: Hector RETAMAL/AFP)

Diterbitkan : 08 Apr 2020 10:14AM Dikemas Kini : 08 Apr 2020 10:16AM

WUHAN: Beribu-ribu orang dilihat membanjiri stesen kereta api untuk meninggalkan bandar Wuhan pada Rabu (8 Apr) selepas pihak berkuasa menarik balik larangan perjalanan keluar masuk, yang dikuatkuasakan selama lebih dua bulan di bandar China yang paling teruk terjejas oleh wabak COVID-19 itu.

Sejurus larangan itu ditarik balik mengikut jadual pada tengah malam waktu tempatan, ramai penumpang meluahkan keriangan dan rasa lega sedang mereka memasuki stesen Wuchang di Wuhan, mengambil kesempatan untuk menaiki kereta api malam menuju keluar bandar.

"Wuhan menanggung padah yang sangat hebat dalam epidemik ini," kata Yao, 21 tahun yang dalam perjalanan pulang ke Shanghai untuk bertugas semula di sebuah restoran.

"Sekarang perintah berkurung sudah ditarik balik, saya rasa kami semua agak gembira."

Pemerintah menganggarkan seramai 55,000 penduduk dijangka melakukan perjalanan meninggalkan bandar itu pada Rabu (8 Apr) menaiki kereta api dari bandar tersebut. Wuhan diletakkan di bawah perintah berkurung dan kuarantin yang tidak dijangkakan pada 23 Januari.

Perintah berkurung itu menjadikan Wuhan tempat pertama di dunia dikenakan perintah sekatan seketat itu. Perintah serupa juga dikuatkuasakan di banyak negara merata dunia.

Tidak lama kemudian, bandar-bandar di sekeliling wilayah Hubei juga menyusul, mengurungkan berpuluhan ribu orang dalam rumah masing-masing sekali gus memutuskan perhubungan antara wilayah itu dengan seluruh dunia, sedang pengangkutan keluar masuk digantung untuk mencegah penularan virus tersebut.

'SUDAH LAMA TIDAK BERJUMPA'

Kereta api yang pertama bertolak dari bandar itu membawa penumpang pada 12.50 pagi dan laluan keluar di lebuh raya dibuka kepada kenderaan pada masa yang sama.

Saluran-saluran media China memuji keputusan menarik balik larangan perjalanan tersebut, dengan tajuk-tajuk berita di laman webnya menulis "Wuhan, sudah lama tidak berjumpa."

Berdasarkan penjualan tiket, 55,000 orang akan meninggalkan Wuhan menaiki kereta api pada Rabu, lapor saluran berita rasmi CCTV, menukil sumber daripada penguasa kereta api.

Hubei dan ibu kotanya Wuhan mencatat jumlah kes paling tinggi di China dengan 81 ribu kes jangkitan dan lebih 3,300 kematian, secara keseluruhannya.

Satu pengumuman dilaungkan menerusi sistem pengumuman awam stesen kereta api, menyatakan bahawa "Wuhan layak digelar bandar wira. Penduduk Wuhan wajar digelar wira."

Meskipun dengan langkah-langkah yang dikuatkuasakan di Hubei, virus COVID-19 menular di merata China dan dunia.

Namun pihak berkuasa Parti Komunis - yang dituduh lambat bertindak dan pada awalnya cuba merahsiakan penularan tersebut - mendakwa sudah berjaya mengawal jumlah kes jangkitan, meskipun tanda tanya terus mempersoalkan tentang ketepatan jumlah kes.

Perangkaan rasmi angka korban dan jumlah keseluruhan kes jangkitan COVID-19 sudah berkurangan dengan banyak sejak beberapa minggu kebelakangan ini, dengan Suruhanjaya Kesihatan Nasional menyatakan pada Selasa (7 Apr) bahawa tiada kematian baru dilaporkan dalam 24 jam sebelumnya.

Ia adalah hari pertama tanpa sebarang kematian akibat COVID-19 sejak China mula menerbitkan perangkaan harian pada Januari.

Pihak berkuasa di Wuhan menyatakan bahawa pelbagai sekatan terhadap pergerakan akan terus dikuatkuasakan bagi melindungi bandar itu daripada pusingan kedua penularan, sambil mempertahankan bahawa "sikap berwaspada yang lebih luas diperlukan" selepas larangan perjalanan ditarik balik.

Sementara itu, penduduk dari Wuhan juga menghadapi rintangan untuk keluar dari bandar berkenaan.

Para penduduk Wuhan mesti menunjukkan bukti bahawa tempat asal mereka sudah disahkan bebas daripada virus COVIID-19. Ramai yang juga mungkin dikuarantin selama dua minggu di wilayah-wilayah yang menjadi destinasi mereka. 


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : AFP/REUTERS/AY/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan