Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Restoran, kedai makan di Johor Bahru terjejas teruk akibat pelanggan berkurangan dari S'pura dek COVID-19

JOHOR BAHRU: Kedai-kedai makan di Johor Bahru yang biasanya dilanggani ramai pelanggan dari Singapura mengalami hasil penjualan yang merosot dengan mendadak di tengah-tengah kebimbangan terhadap penularan virus korona COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Restoran, kedai makan di Johor Bahru terjejas teruk akibat pelanggan berkurangan dari S'pura dek COVID-19

Lori makanan dekat Jalan Dhoby terjejas oleh penjualan yang menjunam sejak Tahun Baru Cina. (Gambar: Amir Yusof)

Diterbitkan : 23 Feb 2020 10:15AM Dikemas Kini : 23 Feb 2020 01:40PM

JOHOR BAHRU: Kedai-kedai makan di Johor Bahru yang biasanya dilanggani ramai pelanggan dari Singapura mengalami hasil penjualan yang merosot dengan mendadak di tengah-tengah kebimbangan terhadap penularan virus korona COVID-19.

Restoran dan kedai makan yang dikunjungi wartawan Mediacorp mendedahkan bahawa perniagaan mereka merosot dengan ketara sejak Tahun Baru Cina apabila Johor mengesahkan kes pertama jangkitan COVID-19 di negeri itu.

Antara peniaga yang terjejas ialah Hiap Joo Bakery & Biscuit Factory, yang terkenal dengan kek pisangnya. Biasanya, para pelanggan beratur panjang di luar pintu kedai roti yang terletak berdekatan dengan Jalan Dhoby itu.

Menyusuli penularan COVID-19, penjualannya menjunam sekurang-kurangnya 50 peratus, kata Encik Lim Toh Shin yang mengendalikan operasi kedai roti tersebut.


Gambar fail Kedai Roti Hiap Joo di Johor Bahru. (Gambar: Amir Yusof)


"Selalunya, ada barisan yang panjang untuk membeli kek-kek kami pada 11.00 pagi setiap hari. Namun sejak kebelakangan ini, barisan itu hanya akan bertahan selama lima minit saja," kata Encik Lim.

"Kami kini mempunyai lebihan kek dan tidak berupaya menjual semua kek yang dibakar setiap hari," tambah beliau.

SUNYI SEPI

Menurut anggaran Encik Lim, rakyat Singapura membentuk sehingga lebih separuh daripada jumlah keseluruhan pelanggannya dan kemerosotan yang mendadak baru-baru ini boleh dikaitkan dengan pengunjung Singapura yang kian berkurangan.

Sementara itu, Encik Rahim Khan, yang mengendalikan Salahuddin Bakery berdekatan, turut mengongsi sentimen yang sama.

Salahuddin Bakery menjual karipap dan roti Perancis yang dibakar segar setiap hari. Encik Khan berkongsi bahawa perniagaan mengalami kemerosotan antara 40 hingga 50 peratus baru-baru ini.

Kedai roti Salahuddin di Jalan Dhoby. (Gambar: Amir Yusof)

Beliau mengaitkan hasil penjualan yang merosot itu dengan kebimbangan orang ramai terhadap COVID-19 yang khuatir mereka akan dijangkiti virus tersebut jika melakukan perjalanan ke luar negara.

"Saya memahami kebimbangan itu. Sesetengah pelanggan tetap saya adalah dari Singapura yang menelefon dan meminta maaf kerana mereka tidak dapat datang ke sini. Tetapi, saya faham. Tidak berbaloi untuk melakukan perjalanan ke sini jika mereka jatuh sakit," tambah beliau.

Kedua-dua kedai roti itu terletak berdekatan dengan Jalan Dhoby di pusat bandar raya Johor Bahru. Daerah itu terkenal dengan kafe-kafe hipster, restoran tradisional dan kedai roti klasik. Ia merupakan lokasi yang popular dalam kalangan pengunjung Singapura.

Namun sejak kebelakangan ini, tempat itu menjadi sunyi sepi, kata Encik Khan.

Walaupun laluan pejalan kaki di Jalan Dhoby sudah diluaskan, jumlah trafik tidak ramai disebabkan penularan virus korona. (Gambar: Amir Yusof)

Beliau menambah: "Virus COVID-19 tentu sekali sebabnya. Tetapi, perniagaan kami juga terjejas buat masa ini disebabkan oleh kerja-kerja binaan untuk meluaskan laluan pejalan kaki. Ini menjadikannya sukar untuk pelanggan kami meletak kereta".

Malaysia sudah mengesahkan 22 kes jangkitan virus COVID-19, dengan 17 pesakit sudah dibenarkan keluar hospital, sejauh ini.

KURANG KESESAKAN DI KOSWE

Menurut laporan-laporan media, Koswe tidak lagi sesak sejak beberapa minggu lalu.

Tinjauan Mediacorp pada petang Khamis (20 Feb) mendapati bahawa perjalanan dari Pusat Pemeriksaan Woodlands ke Johor Bahru melalui Koswe mengambil masa sekitar 20 minit.

Petikan skrin daripada aplikasi 'Beat the Jam!' menunjukkan masa perjalanan antara Singapura dengan Johor Bahru yang berkurangan berbanding seminggu sebelumnya. 

Encik Mohd Taufik Mohd Jamal, seorang penduduk Johor yang melakukan perjalanan ulang-alik ke Singapura enam kali seminggu untuk bekerja di negara ini memberitahu Mediacorp bahawa kesesakan yang berkurangan di Koswe adalah sesuatu yang "tidak dijangkakan".

"Sepanjang 10 tahun melakukan perjalanan ulang-alik, saya tidak pernah mengalami minggu-minggu seperti ini di mana masa perjalanan kurang daripada setengah jam," kata pekerja berusia 45 tahun itu yang bertugas dalam bidang binaan.

Namun begitu, beliau berharap keadaan akan kembali seperti biasa.

"Banyak perniagaan di Johor, termasuk perniagaan makanan dan minuman (F&B) terjejas oleh virus COVID-19. Ia bukan sesuatu yang baik bagi rakyat Malaysia, tambah Encik Mohd Taufik.

Jumlah pengunjung amat rendah di Pasar Borong Pandan, sebuah pusat beli-belah yang popular dengan rakyat Singapura yang membeli keperluan dapur dan menjamu selera di sana.

Tempat makan di pasar itu, yang popular dengan makanan Indonesia, Thai dan Pakistan, lengang semasa waktu makan malam.

Dewan makanan berdekatan Pasar Borong Pandan. (Gambar: Amir Yusof)

Cik Dewi Rudyman, seorang pengendali gerai makanan Indonesia berkata hasil penjualannya menjunam 70 peratus sejak Tahun Baru Cina.

"Saya dapat tahu daripada para pelanggan saya bahawa ia tidak selamat untuk mengunjungi (pasar itu sekarang) kerana kita tidak tahu jika akan berlaku penularan (virus korona). Bagaimanapun sejauh ini, belum ada kes yang dilaporkan di sini."

TIADA SELERA UNTUK MAKAN MAKANAN LAUT

Restoran-restoran makanan laut di Johor Bahru juga melaporkan hasil penjualan yang lembap.

Sebilangan restoran Cina di Kampung Telok Jawa yang menjual makanan laut, yang popular dalam kalangan rakyat Singapura, menyaksikan jumlah pelanggan yang semakin berkurangan sejak tiga minggu lalu.

Restoran makanan laut di Johor Bahru. (Gambar: Amir Yusof)

Seorang kakitangan Restoran Todak, yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Lim memberitahu Mediacorp bahawa sesetengah pelanggan tetap dari Singapura "tiada selera" untuk menjamu makanan laut di tengah-tengah penularan COVID-19.

"Saya rasa para pelanggan takut dijangkiti (COVID-19). Mungkin, keinginan untuk menikmati (makanan laut) tidak begitu baik sekarang," tambah beliau.

Tempat duduk kosong di restoran Todak yang menghadap Selat Johor. (Gambar: Amir Yusof)

Biasanya, para pelanggan beratur panjang untuk mendapatkan tempat duduk. Namun, cawangan itu hanya separuh penuh apabila dikunjungi wartawan Mediacorp pada petang Khamis lalu.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19https://t.me/BERITAmediacorp 
 

Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan