Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Restoran Al-Azhar Tampines ditutup 2 minggu; tumpu masak untuk pekerja asing

Cawangan restoran Al-Azhar di Tampines akan di tutup selama dua minggu mulai esok (20 Apr) hingga 3 Mei ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Restoran Al-Azhar Tampines ditutup 2 minggu; tumpu masak untuk pekerja asing

Gambar hiasan restoran Al-Azhar di Tampines. (Gambar: Al-Azhar Restaurant)

SINGAPURA: Cawangan restoran Al-Azhar di Tampines akan di tutup selama dua minggu mulai esok (20 Apr) hingga 3 Mei ini.

Restoran yang terletak di blok 201D Tampines Street 21 itu menyatakan tempahan makanan dari cawangan itu bagaimanapun masih dibuka hari ini (19 Apr) sehingga pukul 11.00 malam nanti.

Langkah itu diambil sebagai menyokong usaha pemerintah untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19, khususnya dalam kalangan para pekerja asing yang menetap di dormitori.

Semasa dihubungi BERITAmediacorp, Ketua Pegawai Eksekutif Restoran Al-Azhar, Husain Mansoor, berkata restoran itu menerima kontrak Pemerintah untuk bekerjasama menyediakan makanan bagi para pekerja asing di dormitori-dormitori pekerja asing.

"Disebabkan itu kami memutuskan untuk menggantung sementara operasi di cawangan Tampines," kata Encik Husain.

Beliau memberitahu BERITAmediacorp, dengan penutupan cawangan restoran Tampines, mereka dapat memanfaatkan sepertiga keupayaan dapur pusat mereka untuk memasak buat para pekerja asing yang menginap di dormitori.

"Ini bagi membolehkan kami memberi tumpuan kepada tugas memasak untuk para pekerja asing," tambah Encik Husain. Beliau bagaimanapun, tidak dapat mendedahkan perincian lanjut kontrak tersebut.

Apabila ditanya apakah yang akan dimasak untuk para pekerja asing di dormitori, Encik Husain menjawab: "Makanan India, Bangladesh, Cina and 'vegetarian’.

LANGKAH KESELAMATAN BAGI CAWANGAN TAMPINES

Terdapat 43 dormitori pekerja asing di Singapura dan lebih 320,000 pekerja asing tinggal di dormitori-dormitori. 24 dormitori kini diketahui mempunyai kelompok-kelompok kes COVID-19.

Perangkaan Kementerian Kesihatan sehingga 19 April menunjukkan bahawa hampir 70 peratus atau 4,162 daripada 5,992 kes positif COVID-19, adalah para pekerja asing yang menginap di dormitori

Catatan di laman Facebook restoran Al-Azhar mengenai cawangan Tampines itu hari ini, antara lain menyatakan begini:

“Dengan keselamatan para pelanggan dan kakitangan kami menjadi pemegang taruhan terpenting bagi kami, kami akan melakukan apa yang kami boleh untuk mencegah virus daripada terus menular."

BERITAmediacorp turut bertanya untuk mendapatkan kepastian sama ada ini membayangkan ada kakitangannya yang dijangkiti virus itu. Menjawab, Encik Hussain menjelaskan kepada kami bahawa sebenarnya tiada kakitangannya yang dijangkiti. Sebaliknya, ini lebih kepada langkah pencegahan.

"Cawangan Tampines itu lebih kecil berbanding lagi dua cawangan kami. Jadi kami khuatir sekiranya terlalu ramai orang datang di tempat yang kecil. Dengan langkah ini juga kami dapat tumpukan semua khidmat penghantaran daripada lagi dua cawangan yang lebih besar," terang Encik Husain.

Para penggemar hidangan yang disediakan di restoran Al-Azhar, masih boleh membuat tempahan makanan dari lagi dua cawangannya - iaitu di Geylang dan Bukit Timah.  


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan