Skip to main content

Iklan

Iklan

Rakyat S’pura harus ambil iktibar penularan mendadak Korea Selatan, kata Masagos

Penularan mendadak virus korona COVID-19 di Korea Selatan harus dijadikan sebagai iktibar bagi seluruh rakyat Singapura, kata Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli.

Anggaran Waktu Membaca:
Rakyat S’pura harus ambil iktibar penularan mendadak Korea Selatan, kata Masagos

Seorang lelaki dan anak lelakinya di daerah Myeongdong di Seoul, di tengah-tengah penularan COVID-19. (Gambar: Heo Ran/Reuters)

SINGAPURA: Penularan mendadak virus korona COVID-19 di Korea Selatan harus dijadikan sebagai iktibar bagi seluruh rakyat Singapura, kata Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli.

Sebanyak 231 kes COVID-19 dikaitkan dengan gereja Shincheonji Church of Jesus yang terletak di Daegu, sebuah bandar di bahagian tenggara Korea Selatan.

Dalam catatan Facebooknya pada Ahad (23 Feb), Encik Masagos menyifatkan penularan COVID-19 di Korea Selatan sebagai "sangat menggerunkan".

Ini setelah seorang wanita yang disifatkan sebagai penyebar utama atau 'super spreader' dilaporkan mengunjungi gereja itu sebanyak dua kali meskipun sudah mengalami tanda-tanda jangkitan seperti demam dan sakit tekak.

Wanita, berusia 61 tahun, itu juga dilaporkan meninggalkan hospital - di mana beliau dimasukkan selama 10 hari bagi mendapatkan rawatan menyusuli satu nahas jalan raya - untuk menjamu selera bersama rakan-rakannya di sebuah restoran, selain meluangkan masa di sebuah spa di bandar Cheongdo sedang virus itu menular secara meluas di sekelilingnya.

Media-media tempatan turut melaporkan bahawa wanita itu juga berkelahi dengan seorang pegawai perubatan selama sejam sebelum beliau akhirnya bersetuju untuk menjalani ujian bagi virus COVID-19.

"Sikap begini harus kita jauhi. Setiap kita ada peranan. Bukan sahaja kita bertanggungjawab untuk menjaga diri kita sendiri tetapi juga keluarga, sekitaran dan masyarakat yang lebih luas," kata Encik Masagos, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.

Menurut Encik Masagos, penularan COVID-19 menjejas seluruh dunia. Maka itu, beliau menekankan peri pentingnya setiap rakyat sama-sama memikul tanggungjawab sosial antara satu sama lain di tengah-tengah penularan virus tersebut di merata dunia.

Pejabat Mufti di Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), menurut beliau, turut bergegas untuk memberikan panduan bagi menyesuaikan kebiasaan beribadah dalam masa-masa sebegini.

"Mufti dan para ulama menegur kita silap jika kita hanya berserah kepada takdir atau bertawakkal tanpa mengambil tindakan proaktif untuk mencegah wabak ini.

"Segeralah kita lipat-gandakan kesedaran dan iltizam untuk sama-sama memerangi wabak serius ini, termasuk di masjid-masjid kita yang kita kasihi dan memelihara kesejahteraan Singapura," katanya.

Encik Masagos turut menggesa masyarakat Melayu/Islam supaya merujuk kepada laman MUIS untuk irsyad bagi menangani keadaan COVID-19.

Beliau menekankan bahawa "kita mesti bertindak sebagai satu Singapura dan satu masyarakat global."

Encik Masagos berbesar hati melihat madrasah-madrasah dan masjid-masjid di negara ini sudapun meningkatkan usaha bagi memerangi COVID-19.

Bagaimanapun, katanya, lebih banyak usaha perlu dilakukan bagi melindungi satu sama lain dan mengatasi penularan virus yang boleh membawa maut itu.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : BERITA Mediacorp/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan