PR S'pura diuji positif sebelum berangkat antara 15 kes baru COVID-19
Satu kes jangkitan dalam masyarakat dilaporkan di antara 15 kes baru COVID-19 di Singapura pada tengah hari Rabu (21 Apr).
SINGAPURA: Satu kes jangkitan dalam masyarakat dilaporkan di antara 15 kes baru COVID-19 di Singapura pada tengah hari Rabu (21 Apr).
Menurut kemas kini awal Kementerian Kesihatan (MOH) lagi 14 kes diimport dan dikenakan notis Jangan Keluar Rumah (SHN) sebaik tiba di sini.
Tiada kes jangkitan dilaporkan di dormitori.
1 KES DALAM MASYARAKAT
Pesakit yang dikenalpasti sebagai Kes 62200 itu tidak terkait dengan kes terdahulu. Penduduk tetap lelaki berusia 39 tahun itu bekerja sebagai jurutera sistem di Parkway Pantai. Beliau bekerja dari rumah dan belum lagi kembali ke tempat kerjanya, kata MOH.
Beliau telah melakukan perjalanan ke India dari 9 Jul 2020 hingga 24 Januari 2021. Sekembalinya ke Singapura, beliau menjalani notis Jangan Keluar Rumah (SHN) di kemudahan khusus sehingga 7 Februari.
Hasil ujiannya pada 6 Februari negatif COVID-19. Beliau tidak menunjukkan gejala, dan dikesan ketika mengambil ujian COVID-19 sebelum berangkat pada 19 April.
Hasil ujiannya itu positif pada keesokan harinya, dan beliau dibawa ke Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) dengan menaiki ambulans.
"Nilai Ctnya adalah tinggi menunjukkan zarah virus yang rendah dan ujian keputusan serologinya juga positif.
"Beliau mungkin masih mengeluarkan sisa-sisa kecil virus RNA daripada jangkitan lama yang tidak lagi boleh menjangkiti orang lain," kata MOH.
"Namun memandangkan MOH tidak dapat membuat kesimpulan secara pasti bilakah lelaki itu dijangkiti, langkah-langkah kesihatan awam sewajarnya diambil sebagai langkah berjaga-jaga."
KES IMPORT
Baki 14 kes diimport dan sudah dikenakan SHN atau diasingkan sebaik tiba di Singapura.
Dua daripada mereka adalah penduduk tetap yang pulang dari India.
Lagi dua adalah pemegang pas tanggungan yang tiba dari India dan UAE.
Terdapat juga seorang pemegang pas pelajar yang tiba dari India.
Selain itu, tujuh kes melibatkan pemegang pas kerja yang tiba dari India, Luxembourg, Nepal, Belanda, UAE dan UK.
Satu kes adalah pemegang permit kerja yang tiba dari Indonesia, yang merupakan pembantu rumah hijrahan.
Baki kes melibatkan seorang pemegang pas lawatan jangka pendek yang tiba dari India untuk mengunjungi anggota keluarganya yang merupakan warga Singapura.
Dalam pada itu, 36 lagi pesakit dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat, menjadikan 60,576 kes yang sudah pulih sepenuhnya.
70 pesakit masih dirawat di hospital dengan seorang dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi.
Sebanyak 204 kes diasingkan dan dijaga di kemudahan masyarakat.
Sehingga hari ini, Singapura melaporkan 60,880 kes COVID-19 dengan 30 kematian.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.