Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PPIS, Taman Bacaan sokong Belanjawan Berdaya Tahan

Dua badan Melayu/Islam setempat menyuarakan sokongan terhadap Belanjawan Berdaya Tahan yang diumumkan di Parlimen pada Khamis (26 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
PPIS, Taman Bacaan sokong Belanjawan Berdaya Tahan

Kakitangan PPIS berganding bahu menyediakan cecair pembasmi kuman untuk rakan-rakan seperjuangan mereka. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

BERITAmediacorp: Dua badan Melayu/Islam setempat menyuarakan sokongan terhadap Belanjawan Berdaya Tahan yang diumumkan di Parlimen pada Khamis (26 Mac).

Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) menyifatkan pakej yang dibentangkan sebagai "sangat membantu wanita, keluarga dan kanak-kanak di tengah-tengah ketidak tentuan krisis COVID-19". Taman Bacaan pula menyifatkannya sebagai langkah yang dipertimbangkan secara menyeluruh dan "berani".

Pada Khamis, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Heng Swee Keat mengumumkan Pakej Berdaya Tahan bernilai S$48 bilion untuk membantu negara mengharungi krisis yang dibawa penularan virus korona merata dunia.

Digabungkan dengan S$6.4 bilion yang diumumkan pada Belanjawan 2020 bulan lalu, Singapura akan memperuntukkan hampir S$55 bilion, yang membentuk 11 peratus Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) bagi memerangi COVID-19.

"BANTU RINGANKAN BEBAN" GOLONGAN MEMERLUKAN: PPIS

Dalam kenyataan media PPIS pada Khamis, agensi khidmat sosial itu mengumumkan pihaknya "mengalu-alukan" Belanjawan Berdaya Tahan yang dibentangkan.

"Sebagai Agensi Khidmat Sosial, kami mengalu-alukan penambahan Pakej Bantuan Keluarga kerana ia akan lebih membantu ramai wanita dan keluarga dalam keperluan kewangan seharian mereka sedang negara ini mengharungi krisis sekarang, terutamanya mereka yang mempunyai anak-anak kecil," menurut kenyataan PPIS.

PPIS menambah pihaknya menjangkakan lebih ramai yang akan tampil memohon bantuan daripada agensi-agensi khidmat sosial sepertinya dalam keadaan sekarang.

Badan tersebut turut mengalu-alukan sokongan tambahan bagi badan-badan bantu diri selain bantuan yang dihulurkan kepada para mereka yang bekerja sendiri, untuk "memastikan warga Singapura diberi sokongan yang diperlukan untuk melindungi sumber pendapatan mereka semasa krisis ini".

PPIS turut berbesar hati dengan keputusan para pemegang jawatan politik termasuk Presiden Halimah Yacob yang akan menerima potongan gaji selama tiga bulan.

"Sebagai sebuah badan yang memberi khidmat kepada orang ramai, kami mengalu-alukan pengorbanan mereka untuk negara dan sokongan mereka kepada orang ramai."

"Di pihak kami, PPIS akan memastikan mereka yang kami bantu akan mendapat sokongan sebanyak mungkin dan mendapat akses kepada langkah tambahan yang diumumkan di bawah Belanjawan Berdaya Tahan 2020".

"BELANJAWAN DIPERTIMBANGKAN SECARA MENYELURUH"

Taman Bacaan pada Khamis pula menyatakan bahawa "adalah jelas" kesemua maklum balas sudah dipertimbangkan dalam membentangkan Belanjawan terbaru itu.

"Setelah mendengar pembentangan anda (DPM Heng) dan meneliti semua laporan, adalah amat jelas bahawa anda dan pasukan anda sudah berbincang dengan pelbagai Kementerian, masyarakat usahawan dan orang ramai menerusi saluran maklum balas," menurut kenyataan itu yang ditandatangani presiden Taman Bacaan Abdul Halim Kadir.

"Pasukan anda secara teliti mempertimbangkannya, dengan mengambil kira segenap masyarakat Singapura. Belanjawan Berdaya Tahan ini adalah langkah julung-julung kalinya oleh pemerintah untuk melindungi Singapura dan rakyatnya sedang kita mengharungi masa-masa mencabar."

Badan tersebut juga menyifatkan Belanjawan terbaru itu sebagai "langkah berani" oleh pemerintah.

"Taman Bacaan yakin sepenuhnya bahawa anda dan para pemimpin 4G dengan sokongan rakan sejawatan di Parlimen dan kakitangan awam akan melaksanakan belanjawan rakyat ini."

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan