Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PPIS didik murid-murid prasekolahnya tolak sikap 'NIMBY' terhadap pekerja asing

Inisiatif itu diadakan demi menolak sikap 'Not In My Backyard' atau pendeknya NIMBY, di mana masyarakat kurang selesa dormitori pekerja asing ditubuhkan dekat kawasan mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
PPIS didik murid-murid prasekolahnya tolak sikap 'NIMBY' terhadap pekerja asing

Murid-murid Pusat Pembangunan Kanak-Kanak PPIS Bukit Batok. (Gambar: PPIS)

SINGAPURA: Anggota Parlimen GRC Jurong, Rahayu Mahzam, pada Isnin (8 Jun) secara simbolik memimpin sekitar 100 orang murid dan kakitangan sebuah pusat prasekolah untuk mengalu-alukan kehadiran 400 pekerja asing di kawasan Bukit Batok.

Inisiatif itu diadakan demi menolak sikap 'Not In My Backyard' atau pendeknya NIMBY, di mana masyarakat kurang selesa dormitori pekerja asing ditubuhkan dekat kawasan mereka.

Dengan lebih ramai pekerja asing yang menginap di dormitori besar kini sembuh atau diuji negatif COVID-19, mereka perlu ditempatkan ke tempat lain.

Dormitori sementara di Jalan Jurong Kechil. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

(Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Antaranya termasuklah di bekas bangunan sekolah antarabangsa Jerman Eropah di Jalan Jurong Kecil, yang dijadikan sebagai dormitori sementara bagi 400 pekerja asing. Ia terletak bersebelahan Pusat Pembangunan Kanak-Kanak PPIS Bukit Batok - iaitu kira-kira lima minit jika berjalan kaki.

Minggu lalu Pemerintah mengajak rakyat supaya jangan mengamalkan sikap NIMBY yang tidak menerima kewujudan dormitori pekerja di kawasan mereka.

Itulah yang dibuktikan prasekolah PPIS Bukit Batok apabila murid-murid, ibu bapa mereka dan kakitangan sekolah melakukan usaha untuk mengalu-alukan kehadiran para pekerja asing di dormitori sementara itu.

Dormitori sementara di Jalan Jurong Kechil. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

(Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

TOLAK NARATIF 'NIMBY'

Selain menghulurkan kad-kad ucapan khas yang ditulis murid-murid Tadika 1 dan 2, mereka juga memberikan hamper berisi makanan dan 'sanitiser' sebagai buah tangan kepada para pekerja asing itu.

"Saya rasa ini adalah satu usaha yang amat penting dan satu laungan yang amat kuat dan bermakna kerana ia mengajak kita semua untuk bersikap inklusif dan menerima mereka dalam kumpulan keluarga di Singapura.

"Mereka datang ke sini untuk bekerja dan saya gembira kerana ini adalah nilai-nilai baik yang kita pupuk dalam diri anak-anak kita," Cik Rahayu Mahzam memberitahu BERITAmediacorp.

Guru PPIS menyiapkan hamper. (Gambar: PPIS)

(Gambar: PPIS)

Presiden PPIS, Rahayu Mohamad pula menyifatkan kewujudan jiran baru mereka itu sebagai "peluang untuk mendidik" murid-muridnya.

"Ibarat kata pepatah, jika kita ingin melentur buluh daripada rebungnya. Kami rasa ini adalah satu peluang untuk mendidik anak-anak kita nilai inklusif dan juga ini merupakan satu naratif menolak mentaliti 'Not in My Backyard'," ujar Cik Rahayu Mohamad.

Yang pasti PPIS juga mahu menerapkan nilai-nilai hidup bermasyarakat serta sikap prihatin antara sesama jiran tetangga ke dalam jiwa anak-anak didiknya.

Ini termasuklah menghargai sumbangan para pekerja asing yang merupakan salah satu tunggak ekonomi Singapura.

Dormitori sementara di Jalan Jurong Kechil. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

(Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

PEKERJA TERHARU, AKAN SENTIASA INGAT S'PURA

Hakikatnya, para pekerja asing di dormitori sementara itu berasa terharu menerima 'hadiah' serta sambutan baik daripada murid-murid PPIS.

"Lukisan-lukisan itu membuatkan kami berasa kasih sayang daripada rakyat Singapura. Terima kasih banyak-banyak!" kata salah seorang daripada mereka, Gunisetty, 25 tahun, dari India.

"Terima kasih kerana membuatkan kami berasa gembira tinggal di sini dan juga kepada murid-murid PPIS atas kad-kad dan poster yang mereka berikan. Saya akan sentiasa ingat Singapura bila saya pulang ke India," kata rakannya, Sujan, 35 tahun.

Dormitori sementara di Jalan Jurong Kechil. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

(Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Sekitar 36,000 daripada kira-kira 38,300 kes positif COVID-19 di Singapura adalah para pekerja asing yang menginap di dormitori.

Di sinilah kata Cik Rahayu Mahzam, perlunya anak-anak faham dan terima orang daripada latar belakang, kaum dan agama berbeza.

"Kita lihat apa yang berlaku di negara lain sebenarnya adalah sesuatu yang orang kata sudah lama disimpan. Jadi apabila ia berlaku, keganasan yang datang dan rasa marah membuak-buak itu amat berbahaya," jelas Cik Rahayu Mahzam.

Dormitori sementara di Jalan Jurong Kechil. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

(Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Beliau menambah, di Singapura sendiri, kita "konsisten" dalam memastikan usaha antiperkauman diteruskan, meskipun negara masih aman.

"Walaupun dalam masa aman kita terus memupuk nilai-nilai baik dan kita mula daripada awal. Kita mula daripada anak-anak kecil, anak-anak sekolah. Kita perlu faham situasi itu dan tidak bersikap hanya pentingkan diri sendiri. Jadi itu adalah sesuatu yang kita daripada dulu, daripada awal," kata Cik Rahayu Mahzam.

Dormitori sementara di Jalan Jurong Kechil. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

(Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

420 KATIL & ADA 'MINIMART'

Awal bulan ini, pemerintah mengumumkan satu usaha berbilang agensi untuk mempertingkat dormitori-dormitori pekerja asing untuk mengawal penularan COVID-19.

Penguasa Tanah Singapura ((Agensi Darat Singapura)) (SLA) dalam kenyataan yang dikirimkan kepada BERITAmediacorp menyatakan, bangunan bekas sekolah antarabangsa itu sudah dibaik pulih sebagai tempat penginapan sementara bagi para pekerja perkhidmatan penting, yang didapati sihat.

Kemudahan itu memuatkan sekitar 420 katil dan sebuah kedai minimart untuk para pekerja membeli barangan keperluan. Makanan juga akan disediakan untuk mereka. Langkah-langkah keselamatan juga sudah diambil. Lokasi itu berpagar dan dikawal oleh patra petugas keselamatan.

Menurut SLA, para pekerja juga perlu menjaga jarak selamat dan tetap berada di premis tersebut setiap masa kecuali untuk keluar bekerja menaiki pengangkutan yang sudah disediakan oleh majikan.

Ia menambah, usaha berbilang agensi untuk menyediakan tempat tinggal alternatif bagi pekerja asing untuk menangani wabak COVID-19 hanya akan berhasil dengan adanya sokongan para penasihat akar umbi serta semua rakyat Singapura.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan