Skip to main content

Iklan

Iklan

Polis sah terima aduan tuduh Azmin Ali langgar SOP ziarah Aidilfitri

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Mohd Fadzil Ali mengesahkan satu aduan polis diterima pada Jumaat (14 Mei) berhubung dakwaan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Malaysia, Mohamed Azmin Ali, melanggar SOP berkaitan larangan kunjung-mengunjung atau ziarah Aidilfitri.

Anggaran Waktu Membaca:
Polis sah terima aduan tuduh Azmin Ali langgar SOP ziarah Aidilfitri

Gambar fail Azmin Ali. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 15 May 2021 10:47AM Dikemas Kini : 15 May 2021 10:53AM

PUTRAJAYA: Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Mohd Fadzil Ali mengesahkan satu aduan polis diterima pada Jumaat (14 Mei) berhubung dakwaan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Malaysia, Mohamed Azmin Ali, melanggar prosedur operasi standard (SOP) berkaitan larangan kunjung-mengunjung atau ziarah Aidilfitri.

Beliau berkata aduan itu diterima pada 3.00 petang berhubung catatan di Facebook atas nama Ummi Hafilda Ali, yang tular di media sosial dan mendapat perhatian netizen yang mendakwa ahli keluarga Mohamed Azmin merentas daerah untuk berkumpul bagi meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Encik Mohd Fadzil berkata Encik Mohamed Azmin serta ahli keluarga, anggota Pasukan Gerakan Am yang bertugas di kediaman beliau dan pemilik akaun Facebook Ummi Hafilda Ali serta saksi-saksi yang lain akan dipanggil untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan. 

"Maklumat awal mendapati sambutan dan jamuan raya tersebut hanya dalam kalangan ahli keluarga Mohamed Azmin yang mendiami kediaman tersebut. Keterangan petugas yang menjaga pos kawalan kediaman rasmi tersebut juga mengesahkan pada 13 Mei tiada pergerakan keluar masuk tetamu seperti yang didakwa dalam hantaran Facebook yang tular di media sosial,” kata beliau dalam kenyataan di Putrajaya hari ini (15 Mei).

Insiden tersebut didakwa berlaku pada 13 Mei lebih kurang 8.00 pagi di kediaman rasmi Mohamed Azmin di alamat No 3, Jalan Presint 10/7, Presint 10.

Encik Mohd Fadzil juga menasihati pengguna media sosial yang lain supaya berhati-hati semasa mengeluarkan kenyataan atau komen yang boleh menjatuhkan imej, kewibawaan serta maruah seseorang ataupun jabatan. 

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan