Virus Korona

Images
  • muhyiddin (2)
    Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. (Gambar: Bernama)

PM Muhyiddin negatif COVID-19; perlu jalani kuarantin selepas pegawai dijangkiti COVID-19

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sudah disahkan negatif COVID-19 namun perlu menjalani kuarantin selama 14 hari di rumahnya selepas seorang pegawai yang hadir di mesyuarat yang diadakan selepas sidang Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri Rabu lalu disahkan positif COVID-19.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataannya menyatakan semua ahli mesyuarat di Pejabat Perdana Menteri itu juga diarah supaya menjalani ujian saringan dan kuarantin di rumah masing-masing selama 14 hari bermula hari ini (22 Mei).

“Perdana Menteri sudah menjalani ujian saringan COVID-19 pagi tadi dan disahkan negatif. Bagaimanapun, menurut Perintah Pengawasan dan Pemerhatian bagi Kontak COVID-19 (Seksyen 15(1) Akta 342), Perdana Menteri perlu menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari mulai petang ini,” katanya.

Menurut kenyataan itu, setiap mesyuarat yang diadakan di Pejabat Perdana Menteri mengamalkan penjarakan sosial dan penjagaan kesihatan ketat setiap masa.

- BERNAMA/NA/na

Top