Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PM Lee harap hasil positif langkah 'putus jangkitan' COVID-19 jelang 17 Apr

Jika semua orang mematuhi langkah "pemutus rantaian jangkitan", Singapura akan melihat hasil positif selewat-lewatnya menjelang 17 April atau hari ke-11, seperti yang dialami New Zealand apabila ia mengenakan langkah serupa, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Anggaran Waktu Membaca:
PM Lee harap hasil positif langkah 'putus jangkitan' COVID-19 jelang 17 Apr

PM Lee Hsien Loong bersama Cik Jacinda Ardern semasa lawatan PM New Zealand ke S'pura pada 2019 (Gambar: MCI)

Diterbitkan : 09 Apr 2020 07:13PM Dikemas Kini : 09 Apr 2020 07:18PM

SINGAPURA: Jika semua orang mematuhi langkah "pemutus rantaian jangkitan", Singapura akan melihat hasil positif selewat-lewatnya menjelang 17 April atau hari ke-11, seperti yang dialami New Zealand apabila ia mengenakan langkah serupa, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Dalam catatan Facebook pada Khamis (9 April), Hari Ketiga langkah tersebut, Encik Lee berkata beliau telah bercakap dengan Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern memberikan satu sama lain perkembangan terkini mengenai bagaimana kedua-dua negara menangani krisis COVID-19.

New Zealand melaksanakan langkah sekatan pergerakan seluruh negara selama dua minggu bermula pada 25 Mac, dan jumlah jangkitan mula menurun. Negara tersebut sudah menamatkan langkah sekatannya dan para pegawai kesihatan sedang berusaha untuk menghapuskan sama sekali virus itu dari pulau-pulaunya.

Sama seperti Singapura, langkah sekatan di New Zealand menghendaki penduduknya untuk tidak keluar rumah kecuali ketika bersenam di luar sambil mematuhi peraturan jarak selamat. Sekolah dan perniagaan tidak penting juga ditutup.

Semasa tempoh itu, polis New Zealand mencatat lebih 350 kesalahan berkaitan COVID-19 - 45 daripadanya didakwa di mahkamah. Setakat pukul 4.00 petang Khamis, terdapat 1,239 kes COVID-19 di New Zealand dengan satu kematian.

Cik Ardern memberitahu Encik Lee bahawa selepas negaranya melaksanakan langkah-langkah tersebut, jumlah kes baru COVID-19 mula merosot pada Hari 11, katanya.

"Kami hanya berada di Hari Ketiga dan perjalanan masih panjang. Jika kita semua mematuhi dengan teliti, seperti yang dilakukan oleh penduduk New Zealand, mudah-mudahan selewat-lewatnya pada Hari Ke-11 kita juga akan melihat hasil yang positif," tulis PM Lee.

Encik Lee menarik perhatian bahawa Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli pada Khamis mengumumkan bahawa pegawai penguat kuasa akan segera mencatat butiran sesiapa yang melanggar langkah jarak selamat.

Amaran bertulis tegas akan diberikan dengan serta-merta, tidak lagi nasihat seperti sebelumnya, kata Encik Masagos.

Kesalahan berulang akan dikenakan denda S$ 300. Pesalah kali ketiga akan dihadapkan ke mahkamah dan mungkin dihukum penjara enam bulan dan denda S$10,000.

Kata PM Lee: "Kita tidak boleh berlengah untuk menyelamatkan nyawa. Tolong mainkan peranan anda hari ini."

PM Lee menambah beliau dan Cik Ardern membincangkan bagaimana kedua-dua negara dapat menyokong satu sama lain dalam tempoh ini, termasuk memastikan rangkaian bekalan tidak terputus antara kedua-dua negara.

"Kedua-dua Singapura dan New Zealand akan terus memainkan peranan dalam perjuangan global melawan COVID-19," kata Encik Lee.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan