Virus Korona

Images
  • muhyiddin (2)
    (Gambar: Agensi berita)

PKP terpaksa dilaksana semula jika kes COVID-19 meningkat dengan mendadak, tegas Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memberi peringatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan terpaksa dilaksanakan semula sekiranya kes COVID-19 di dalam negara meningkat dengan mendadak.

Encik Muhyiddin berkata jika PKP dilaksanakan semula, ia akan memberi kesan buruk kepada kehidupan rakyat dan ekonomi negara.

"Kita tidak boleh ke mana-mana dan tinggal di rumah sahaja seperti yang sedang dikuatkuasakan di Kota Setar, Kedah pada masa ini. Nauzubillah," katanya ketika menyampaikan perutusan khas berkaitan situasi semasa COVID-19 di dalam negara malam ini.

Perutusan itu disiarkan secara langsung di beberapa rangkaian televisyen tempatan dan media sosial.

Perdana Menteri juga berkata kerajaan tidak teragak-agak untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan-kawasan yang mencatatkan kes baru yang tinggi.

Justeru, Encik Muhyiddin mengingatkan rakyat Malaysia supaya terus berwaspada dan tidak leka terhadap peraturan berkaitan kuarantin, pemakaian pelitup muka serta pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang masih berkuat kuasa agar penularan wabak COVID-19 dapat dikawal.

Encik Muhyiddin turut memberikan gambaran situasi pandemik COVID-19 di peringkat global yang masih menular secara aktif tidak terkecuali berlaku di negara tersebut.

Katanya lagi, kes harian COVID-19 yang direkodkan di Malaysia adalah sekitar satu, dua dan adakalanya tiga angka tanpa pernah mencatatkan kes sifar dan memberikan gambaran bahawa rantaian jangkitan COVID-19 di Malaysia masih belum dapat diputuskan sepenuhnya.

"Berdasarkan dapatan yang diperolehi oleh para penyelidik dari seluruh dunia dan trend kes yang dilaporkan, jangkitan dijangka berterusan untuk suatu tempoh masa yang agak lama.

Ini mengambil kira faktor pencegahan dan kawalan penularan jangkitan COVID-19 secara berkesan yang memerlukan rawatan spesifik dan vaksin berkesan serta selamat untuk digunakan.

"Dengan situasi ini, sesiapa sahaja mungkin terdedah kepada risiko jangkitan COVID-19 pada ketika ini," katanya lagi. 

- BERNAMA/NA/na

Top