Koronavirus

Images
  • pfizer vaccine covid-19
    (Gambar: Reuters)

Pfizer bakal gandakan bekalan vaksin untuk AS dalam tempoh beberapa minggu

PORTAGE, Michigan: Ketua Eksekutif Pfizer, Albert Bourla berkata firma pembuat ubat itu menjangkakan ia akan dapat menggandakan jumlah dos vaksin COVID-19 yang dibekalkan untuk Amerika Syarikat dalam masa beberapa minggu mendatang.

Encik Bourla berkata demikian semalam (19 Feb) selepas Presiden Amerika Syarikat Joe Biden mengadakan lawatan ke kilang vaksin tersebut di Michigan dan menurut beliau, Pfizer buat masa ini menghantar purata lima juta dos seminggu dan menjangkakan untuk "menggandakan jumlah itu" dalam tempoh beberapa minggu lagi.

"Kami sudah mempertingkatkan proses-proses untuk menggandakan jumlah dos dan menambah pengeluarannya serta menggunakan keadah-kaedah ujian makmal yang lebih berkesan untuk mengurangkan tempoh penghasilan," kata Encik Bourla.

Menurut beliau lagi, langkah-langkah itu membolehkan syarikatnya mengurangkan masa yang diperlukan untuk menghasilkan vaksin dari 110 hari kepada 60 hari sahaja.

Menurut Encik Bourla selanjutnya, sebelum 17 Februari lalu, Pfizer sudahpun membekalkan 40 juta dos vaksin COVID-19 yang dihasilkannya bersama rakan Jerman, BioNTech, untuk Amerika Syarikat.

Syarikat itu bersetuju untuk membekalkan 300 juta dos kepada Amerika Syarikat menjelang hujung bulan Julai.

Encik Bourla berkata Encik Biden mencabar syarikatnya supaya menjangkaui sasaran tersebut dan ia akan mencari cara untuk mempertingkat penghasilannya.

- Reuters/NK/nk

Top