Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Petugas kesihatan ditambah di Lapangan Terbang M'sia bagi atasi kesesakan saringan COVID-19

Jumlah petugas Kementerian Kesihatan Malaysia dan peralatan saringan COVID-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 akan ditambah bagi mengurangkan kesesakan proses saringan terhadap individu yang tiba dari Sabah.

Anggaran Waktu Membaca:
Petugas kesihatan ditambah di Lapangan Terbang M'sia bagi atasi kesesakan saringan COVID-19

(Gambar: Agensi berita)

Diterbitkan : 28 Sep 2020 04:00PM Dikemas Kini : 28 Sep 2020 04:07PM

KUALA LUMPUR: Jumlah petugas Kementerian Kesihatan Malaysia dan peralatan saringan COVID-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 akan ditambah bagi mengurangkan kesesakan proses saringan terhadap individu yang tiba dari Sabah.

Kementerian itu menerusi Twitter memaklumkan menyusuli aduan kesesakan proses saringan COVID-19, Menterinya Dr Adham Baba mengarahkan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor untuk menambah bilangan petugas dan peralatan bagi melancarkan proses saringan.

“Masalah kesesakan akan diselesaikan segera dengan penambahan peralatan dan petugas,” katanya.

Terdahulu, Dr Adham bersama Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah meninjau proses saringan COVID-19 yang dilakukan kakitangan KKM di KLIA dan klia2, awal pagi Isnin (28 Sep).

Dr Noor Hisham berkata setiap penumpang akan menjalani saringan antara 10 hingga 15 minit sahaja tetapi gilirannya mungkin mengambil masa kerana penumpang yang ramai.

"Bagi satu kapal terbang masa yang dijangka diambil ialah sekurang-kurangnya dua jam, mungkin lebih. Kalau lebih daripada satu kapal terbang iaitu tiga atau empat kapal terbang yang tiba ia mungkin mengambil masa panjang.

"Masalah yang berlaku ialah kerana ramai penumpang. Jadi kena tunggu dan bersabar," katanya mengulas mengenai aduan dan laporan terdapat penumpang yang terpaksa menunggu sehingga enam jam untuk menjalani ujian COVID-19.

Ditemui para wartawan di Institut Kanser Negara di sini hari ini, Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan telah menambah 90 lagi petugas di terminal utama KLIA dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), menjadikan jumlah petugas seramai 400 orang.

Dr Noor Hisham pada Sabtu mengumumkan peraturan yang mewajibkan individu yang baru tiba dari Sabah menjalani saringan COVID-19 di kawasan pintu masuk bermula 27 Sept hingga 10 Oktober ini. 

Beliau yang turut melawat KLIA pada 3 pagi hingga 5 pagi tadi berkata keadaan masih terkawal dan terdapat petugas Kementarian Kesihatan yang bekerja syif berganda iaitu sehingga 16 jam.

Menurutnya, ujian swab dilaksanakan melalui dua kaedah iaitu swab hidung dan mulut, kemudian penumpang akan dipakaikan gelang, diberi keterangan mengenai COVID-19 dan tindakan yang perlu mereka ambil.

Dr Noor Hisham berkata keputusan ujian saringan ke atas penumpang dari Sabah akan diketahui dalam masa 24 hingga 72 jam.

"Mereka yang positif akan dihantar ke hospital manakala yang negatif tapi ada terdedah kepada kes positif akan dikuarantin 14 hari," katanya.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan