Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Petugas Hospital Besar Sengkang antara 18 kes dalam masyarakat; kelompok baru dikesan di dormitori

Singapura melaporkan 21 kes baru COVID-19 dalam kalangan masyarakat hari ini (25 Mei), yang terdiri daripada 18 kes dalam masyarakat dan tiga di dormitori pekerja hijrahan.

Anggaran Waktu Membaca:
Petugas Hospital Besar Sengkang antara 18 kes dalam masyarakat; kelompok baru dikesan di dormitori

Hospital Besar Sengkang. (Gambar: Google Maps)

Diterbitkan : 25 May 2021 11:54PM Dikemas Kini : 25 May 2021 11:58PM

SINGAPURA: Singapura melaporkan 21 kes baru COVID-19 dalam kalangan masyarakat hari ini (25 Mei), yang terdiri daripada 18 kes dalam masyarakat dan tiga di dormitori pekerja hijrahan.

Jumlah itu adalah yang tertinggi dalam kes-kes yang dikesan di dormitori sejak 8 Oktober tahun lalu, apabila terdapat empat kes.

Sebanyak 15 kes jangkitan dalam masyarakat terkait dengan kes-kes sebelum ini. Lapan daripadanya sudah dikuarantin terlebih dahulu dan tujuh dikesan menerusi pemantauan Kementerian Kesihatan (MOH). Baki enam lagi tiada hubung kait dengan kes-kes sebelum ini, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

Terdapat juga sembilan kes import, yang sudah dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) atau diasingkan sebaik tiba di Singapura. Tiga daripada mereka adalah rakyat atau Penduduk Tetap (PR) Singapura.

Keseluruhannya, Singapura melaporkan 30 kes baru COVID-19 hari ini.

PEKERJA HOSPITAL BESAR SENGKANG ANTARA KES TIDAK BERHUBUNG KAIT

Seorang lelaki warga Malaysia berusia 27 tahun yang bertugas sebagai pengurus di Hospital Besar Sengkang adalah antara enam kes yang tiada kaitan dengan mana-mana kes sebelum ini.

Terdapat juga seorang lelaki Malaysia berusia 29 tahun yang bertugas di Tiger Sugar Bubble Tea di Holland Piazza dan seorang pelajar Singapura berusia 15 tahun dari Sekolah Menengah Westwood.

Kes-kes lain yang tiada hubung kait termasuk warga Singapura berusia 27 tahun yang bertugas sebagai pengurus projek di Fei Ying Trading Enterprise, seorang pesara warga Singapura berusia 74 tahun dan seorang rakyat Singapura berusia 50 tahun yang bekerja di Tektronix Southeast Asia.

Semua kes yang tiada hubung kait itu mengalami simptom seperti demam, sakit tekak dan selesema sebelum diuji positif COVID-19.

KELOMPOK JEM/WESTGATE BERTAMBAH

Lagi dua kes terkait kelompok Jem/Westgate, menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak 53 kes.

Kedua-dua kes baru itu adalah anggota keluarga kes sebelum ini dan sudah dikuarantin terlebih dahulu.

Mereka adalah seorang pelajar Sekolah Menengah Kranji berusia 13 tahun dan seorang murid Sekolah Rendah Rulang berusia tujuh tahun.

Kedua-duanya mengalami demam pada 23 Mei dan melaporkan simptom itu semasa dikuarantin.

DORMITORI ANTARA 3 KELOMPOK BARU

Tiga kelompok baru dikesan.

Yang pertama adalah di dormitori, Harvest @ Woodlands.

Kelompok itu mempunyai empat kes. Yang pertama dikesan adalah pekerja warga Malaysia, 46 tahun, yang bekerja sebagai pekerja binaan di H&W Communications. Dia diuji positif pada 22 Mei.

Kelompok kedua yang terkait dengan kes sebelum ini, adalah seorang warga Singapura berusia 40 tahun yang bertugas sebagai kakitangan operasi di The Meatery SG. Dia diuji positif pada 22 Mei. Ada tiga kes dalam kelompok ini.

Satu lagi kelompok terkait dengan seorang lelaki warga Singapura berusia 31 tahun yang bekerja sebagai ejen hartanah ERA Realty Network.

Lelaki itu diuji positif COVID-19 pada 23 Mei. Terdapat lima kes yang ada kaitan dengan kelompok baru ini.

PENDUDUK BLOK PASIR RIS NEGATIF

Singapura sudah memasuki minggu kedua Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat), yang akan berakhir pada 13 Jun.

Menurut MOH dalam responsnya kepada pertanyaan Mediacorp tentang ujian wajib COVID-19 ke atas para penduduk Blok 559 Pasir Ris Street 51, semua 304 penduduk dan pengunjung blok itu diuji negatif COVID-19 hari ini.

MOH dan Kementerian Pembangunan Negara (MND) pada Ahad (23 Mei) menyatakan empat kes COVID-19 dikesan di dua rumah berbeza di blok yang sama.

Setakat hari ini, Singapura melaporkan 61,890 kes COVID-19, dengan 32 kes kematian sejauh ini. 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan