Skip to main content

Iklan

Iklan

Petugas barisan hadapan, warga emas M'sia dijangka disuntik dos ketiga pada Okt

Pemberian dos ketiga atau dos perangsang vaksin COVID-19 untuk golongan rentan dan berisiko dijangkiti COVID-19 di Malaysia dijangka bermula pada Oktober ini, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Anggaran Waktu Membaca:
Petugas barisan hadapan, warga emas M'sia dijangka disuntik dos ketiga pada Okt

Seorang kakitangan perubatan membuat persediaan sebelum menyuntik vaksin ke tubuh seorang warga tua di Kuala Lumpur pada 21 Jun 2021. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 19 Sep 2021 08:03PM Dikemas Kini : 19 Sep 2021 08:04PM

ALOR SETAR: Pemberian dos ketiga atau dos perangsang vaksin COVID-19 untuk golongan rentan dan berisiko dijangkiti COVID-19 di Malaysia dijangka bermula pada Oktober ini, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata golongan itu termasuk warga emas dengan komorbiditi - dua atau lebih penyakit kronik yang dihidapi serentak - petugas barisan hadapan, individu kurang daya tahan imun serta mereka yang tinggal dan bekerja di pusat jagaan jangka panjang.

"Kita akan buka kepada golongan ini dahulu kerana berdasarkan data kematian, data kategori 5 yang masuk ke ICU (unit rawatan rapi), kebanyakan daripada mereka terdiri daripada golongan tersebut - warga emas yang ada masalah jantung, kencing manis, tekanan darah tinggi dan sebagainya.

"Pemberian dos ketiga atau (dos) perangsang itu juga tidak bermaksud pemberian dua dos vaksin sebelum ini tidak berkesan. Sebaliknya, ia adalah bagi meningkatkan sistem imun," jelasnya di sidang media sempena lawatan kerja beliau ke Kedah di Wisma Darul Aman di Alor Setar hari ini (19 Sep).

Encik Khairy menambah banyak negara sudah memulakan pemberian dos ketiga vaksin COVID-19 termasuk di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Singapura dengan tujuan untuk meningkatkan lagi sistem imun individu terhadap wabak itu.

Bagaimanapun, beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) belum membuat keputusan sama ada dos penggalak itu akan diberikan kepada semua individu di negara tersebut.

"Perkara ini masih dalam perbincangan. KKM juga ketika ini sedang melakukan perbincangan dengan pakar dalam menentukan kumpulan usia individu yang akan menerima dos itu," ujarnya.

Beliau berkata pihaknya juga sudahpun mengarahkan semua syarikat pengeluar vaksin untuk menghantar maklumat lanjut kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagi menentukan jenis vaksin yang boleh diberikan dos perangsang.

Encik Khairy menambah kerajaan juga sedang berbincang dengan para majikan untuk memastikan individu yang mahu kembali ke tempat kerja perlu divaksin sepenuhnya.

"Kami juga akan berbincang dengan jabatan perkhidmatan awam tentang tindakan yang bakal diambil terhadap penjawat awam yang tidak mendapatkan vaksinasi atas kehendak mereka sendiri dan bukan atas sebab kesihatan," tambahnya.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan